Cheng Hoe, Kim Swee antara yang komen gosip perpindahan Safawi ke Portugal 3 tahun lalu


  • Podium
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Kehebatan Safawi bersama JDT dan skuad kebangsaan disedari Portimonense SC kira-kira tiga tahun lalu.

PERPINDAHAN pemain kebangsaan ke luar negara merupakan salah satu langkah yang terbaik untuk mendedahkan mereka dengan pengalaman cukup bermakna.

Selain diberikan peluang untuk bertemu lawan lebih mencabar, penghijrahan itu juga akan menaikkan lagi nama bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi sekiranya pemain itu dapat memberikan impak terbaik.

Antara yang pernah mencuba nasib beraksi di liga luar ialah penyerang sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid apabila dia menyertai kelab kecil di Portugal, Portimonense SC.

Perpindahan tersebut dibuat pada 2020 ketika pemain berkenaan berada di prestasi terbaik selepas dinamakan sebagai pemain paling bernilai Liga Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut.

Selain itu, sumbangannya buat Johor Darul Takzim (JDT) juga tidak boleh dipandang rendah apabila dia menjadi tonggak utama pasukan yang memenangi dua gelaran Liga Super, dua Piala Sumbangsih dan satu trofi Piala Malaysia.

tan23_1608705094

Safawi (kanan) dan Cheng Hoe pernah bekerjasama dalam skuad kebangsaan.

Jadi, keunggulan pemain yang kini berusia 26 tahun itu mula disedari kelab-kelab luar, termasuk Portimonense SC dengan minat itu dibocorkan menerusi satu sumber dalaman di Portugal.

Meskipun perkara tersebut tidak disahkan mana-mana pihak, beberapa jurulatih yang pernah membimbing Safawi mengalu-alukan langkah berkenaan yang dianggap cukup positif.

Antara yang memberi sokongan ialah bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe apabila dia mengatakan perpindahan itu hanya akan membuka mata negara luar mengenai kebolehan Liga Malaysia.

Mereka pernah bersama-sama dalam pasukan negara dengan kebolehan Safawi turut membantu Harimau Malaya meraih beberapa momen indah, termasuk ketika melangkah ke final Piala AFF 2018.

WhatsApp Image 2023-08-27 at 12.26.34

Kim Swee merupakan antara yang menyokong perpindahan Safawi ke Portugal.

Selain itu, Datuk Ong Kim Swee turut menyokong pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu untuk menimba pengalaman di luar negara sekiranya perpindahan itu direstui JDT dan pemiliknya, Tunku Mahkota Johor,Tunku Ismail Idris.

Menurutnya, Safawi mampu mencipta sejarah tersendiri sekiranya mampu membantu Portimonense SC beraksi di Liga Europa UEFA, sekali gus menjadi pemain negara pertama ketika itu untuk beraksi dalam pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun, perpindahan itu tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan apabila Safawi hanya mencatatkan satu penampilan bersama skuad simpanan Portimonense.

Kecewa dengan kekurangan minit permainan, Safawi memilih untuk pulang ke pangkuan JDT pada penghujung musim, namun kehadirannya kurang didambakan apabila skuad Harimau Selatan sudah mempunyai bintang baharu, Arif Aiman Hanapi.

Oleh itu, pemain sayap berkenaan terpaksa menelan realiti pahit apabila dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan sebelum sekali lagi mencuba nasib di luar negara awal tahun lalu bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram