Tewas kepada Selangor, tapi Devan masih optimis baiki kedudukan akhir musim skuad Jang


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Devan (tengah) masih optimis untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan lebih baik. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan mengakui terpaksa mengubah percaturan meskipun mengetahui masih belum mampu mengekang kemenangan bergaya 4-0 dicatatkan Selangor FC di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Perubahan yang dilakukan sebelum perlawanan menyaksikan posisi penjaga gol diisi Firdaus Irman Fadhil yang menggantikan tempat Sikh Izhan Nazrel Sheikh Azman.

Selain itu, penyerang import baru kelahiran Maghribi, Youssef Ezzejjari juga tidak diletakkan dalam kesebelasan utama dengan bahagian serangan dikendalikan Casagrande dan Mahali Jasuli.

Namun, itu tidak menghalangnya daripada bersikap optimis bagi kedudukan akhir mereka di penghujung saingan Liga Super musim ini.

"Kami masih mampu menduduki tangga keenam hingga kesembilan. Saya anggap ia pencapaian yang bagus memandangkan bilangan pemain import yang kami ada. Pemain import ini boleh menambah kualiti kepada pasukan.

366364957_714663010674418_5363268122488236830_n

Youssef (kiri) masih belum memberikan sebarang impak buat skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

"Tapi Youssef belum dapat menyesuaikan diri dengan pasukan berdasarkan perlawanan terdahulu. Jadi, saya tidak letakkannya untuk berdepan Selangor untuk mengelaknya kelihatan seperti tidak berfungsi," katanya.

Penyerang berusia 30 tahun itu menyertai skuad Jang pada jendela perpindahan yang lalu meskipun pada awalnya terdapat khabar angin mengatakan dia lebih hampir untuk bersama Kelantan FC.

Bercakap mengenai posisi penjaga gol pula, Devan turut mengambil langkah berani dengan memberi kepercayaan kepada Firdaus yang dianggapnya memiliki potensi sebagai tunjang utama pada masa akan datang.

"Kami hanya ada tujuh perlawanan lagi dalam liga. Dia juga adalah penjaga gol B-23 jadi kami ingin persiapkannya untuk musim akan datang," katanya lagi.

Kekalahan di tempat sendiri itu menyebabkan Negeri Sembilan FC terus berada di tangga kesembilan Liga Super dengan hanya lima perlawanan berbaki buat mereka. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram