Tok Gajah tempang bertemu skuad Jang, bek kanan Sri Pahang terbabit kemalangan


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Ashar (kanan) dipercayai pemain yang terlibat dalam nahas jalan raya pada Selasa itu. — Facebook/SriPahang

MALANG tidak berbau menimpa Sri Pahang FC apabila difahamkan seorang pemain mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Selasa.

Menerusi perkongsian tular dalam kalangan penyokong Tok Gajah, pemain tersebut dipercayai Ashar Al Aafiz iaitu tonggak yang beraksi di posisi bek kanan Sri Pahang.

Ketika kejadian yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya itu, Ashar ataupun lebih mesra dengan panggilan Ebak difahamkan sedang menunggang motosikal miliknya dan berlaku pelanggaran dengan sebuah kereta lain.

Kejadian yang turut dikongsikan penyokong menerusi aplikasi WhatsApp juga menyatakan bahawa pemain berusia 28 tahun itu difahamkan sedang menerima rawatan lanjut susulan kemalangan berkenaan.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 19.00.44

Keadaan motor pemain Sri Pahang itu. — Facebook/HogohPahangHogoh

“Berita sedih yang kami baru dapat terima adik sahabat admin iaitu pemain Sri Pahang FC, Ebak ataupun Ashar (13) (nombor jersi) telah terbabit kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dan sebuah kereta yang keluar dari simpang.

“Keadaannya ketika ini, masih menerima rawatan lanjut. Saya menyeru kepada semua agar mendoakan keadaan Ebak baik-baik dan hulurkan segala isi baik doa kesembuhan buat Ebak agar pulih dan urusan berkaitan hospital dipermudahkan

“Diharapkan seluruh ahli keluarga tabah dan dipermudahkan juga segala urusan,” hantaran dari laman penyokong Sri Pahang, Hogoh Pahang Hogoh.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 19.00.42

Keadaan tonggak Tok Gajah yang dipercayai sedang mendapat rawatan susulan kemalangan tersebut. — Facebook/HogohPahangHogoh

Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mahupun daripada Sri Pahang mengenai kemalangan menimpa pemain berkenaan.

Kejadian yang menimpa kepada pemain tersebut sedikit sebanyak memberi impak kepada skuad Tok Gajah terutamanya ketika persiapan menjelang aksi menentang Negeri Sembilan FC pada Jumaat ini susulan bakal kehilangan khidmat Ashar di bahagian pertahanan.

Selepas tewas di tangan Kuala Lumpur City pada Ahad lalu, skuad Tok Gajah pasti sedang membuat persiapan rapi bagi mendapatkan kembali tiga mata pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan nanti. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram