SELEPAS Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC, skuad The Cops menjadi pasukan ketiga yang berjaya menundukkan ego Gergasi Merah pada musim ini.
Selangor FC terpaksa berputih mata apabila tewas 0-1 di tangan PDRM FC dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu lalu.
Ia adalah kekalahan kali ketiga kelab itu apabila sebelum ini mereka ditundukkan oleh pencabar utama, skuad Harimau Selatan dengan keputusan 0-4 dan Sabah FC (1-2).
Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui sukar menerima kekalahan itu, selain menyifatkan kegagalan anak-anak buahnya memanfaatkan peluang di depan mata, ditambah kelekaan menjadi antara faktor mereka tercicir tiga mata penting berdepan pasukan yang berada di kedudukan lebih bawah dalam liga.
Turut terkesan dengan situasi itu, ada beberapa penyokong berpendapat, The Red Giants perlu memberi perhatian terhadap kelemahan bahagian kanan skuad yang mudah terdedah dengan serangan pihak lawan.

Selangor tewas 0-1 di tangan The Cops dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium MBPJ pada Sabtu. — Facebook/Selangor FC
Pastinya pemain yang diyakini mampu menutup posisi tersebut sangat diperlukan ketika ini bagi mematahkan serangan pihak lawan.
Untuk mengembalikan semula momentum persembahan pasukan, penyokong berpandangan, Selangor boleh mendapatkan khidmat pemain bek kanan Buriram United, Narubadin Weerawatnodom bagi mengukuhkan benteng pertahanan.
Difahamkan kontrak pemain berusia 29 tahun itu dengan kelab gergasi Thailand juga tamat pada 31 Mei lalu.
Pemain berketinggian 180 sentimeter tersebut dikatakan mempunyai kebolehan untuk bermain di bahagian pertahanan kanan dan tengah.
Weerawatnodom menyertai Buriram sejak 2014 dan mempunyai pengalaman luas termasuk dalam saingan AFC dan Liga Juara-Juara AFC.
Sepanjang khidmatnya bersama kelab itu, dia sudah bermain dalam 328 perlawanan dan merekodkan lapan gol serta 35 bantuan gol.
Rekod paling menarik dicatatkannya adalah tidak pernah dilayangkan kad merah (straight red card) walaupun bermain di posisi pertahanan.
Sekiranya The Red Giant tidak mengambil peluang menawarkan kontrak kepada Narubadin, tidak mustahil khidmatnya akan disambar pasukan lain seperti Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang turut berdepan masalah di benteng pertahanan.
Ini kerana Sabah hanya mencatatkan satu perlawanan 'cleansheet' pada musim ini manakala Kedah merekodkan dua perlawanan tanpa bolos.
Kedah dan Sabah, masing-masing mencatatkan 19 bolos dalam 13 perlawanan setakat ini berbanding Selangor yang bolos 14 kali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
