'See you again hermano', ucapan Nurshamil Ghani perkukuhkan penghijrahan rakan sepasukan


  • Podium
  • Ahad, 04 Jun 2023

Selepas tewas 1-4 di tangan KUFC pada Jumaat lalu, TRW menghuni kedudukan tercorot Liga Super. — Facebook/TRW

MASA depan yang samar membuatkan terdapat beberapa pemain Kelantan mengambil keputusan untuk ‘melarikan’ diri daripada pasukan itu dan memilih kelab lebih kukuh bagi membantu kelangsungan hidup mereka.

Setakat ini, antara pemain Kelantan FC yang sudah sah berhijrah ke pasukan lain pada April lalu ialah Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Carli De Murga.

Keputusan drastik para tonggak itu disebabkan sudah muak dengan masalah dalaman The Red Warriors (TRW) yang seakan-akan tidak menemui episod terakhirnya dan hanya menambah derita kepada kakitangan serta barisan pemain.

Terbaharu, seorang lagi pemain skuad TRW, Miguel Cifuentes difahamkan sudah mengesahkan selamat tinggalnya kepada pasukan Pantai Timur berkenaan selepas pelbagai ujian dihadapinya bersama Kelantan pada musim ini.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Cifuentes ataupun lebih mesra dengan panggilan Cifu memberikan ucapan selamat tinggal kepada kelab tersebut selepas sahaja perlawanan menyaksikan TRW tewas 1-4 di tangan Kelantan United FC (KUFC).

WhatsApp Image 2023-06-04 at 14.08.15

Cifu merekodkan empat gol dan satu hantaran bantuan dalam 13 penampilan perlawanan Liga Super bersama TRW. — Facebook/TRW

“Perlawanan terakhir saya sudah sampai bersama Kelantan. Saya rasa sangat bersyukur dengan semua orang atas kasih sayang dan peluang yang kita lawan bersama-sama. TRW Kelantan FC sentiasa istimewa untuk saya. Saya dah cuba yang terbaik.

“Terima kasih kepada kelab atas peluang yang diberi. Saya tahu ia bukan laluan mudah, terima kasih kepada kakitangan dan jurulatih. Terima kasih kepada penyokong atas sokongan dan kasih sayang anda. Selebihnya, terima kasih kepada rakan sepasukan yang sentiasa anggap saya seperti keluarga. Ini bukan selamat tinggal, sampai jumpa lagi,” tulisnya.

Ucapan daripada pemain berusia 32 tahun itu juga mendapat reaksi daripada rakan sepasukannya seperti penyerang, Nurshamil Abd Ghani yang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Cifu.

WhatsApp Image 2023-06-04 at 14.08.23

Tangkap layar ucapan dari Nurshamil.

Bukan itu sahaja, ucapan dari tonggak berusia 29 tahun itu juga semakin memperkukuhkan lagi penghijrahan import Sepanyol itu ke kelab lain.

“Adalah satu penghormatan untuk bermain bersama anda (Cifu) dalam pasukan yang sama. Sampai jumpa lagi hermano (kawan). Selamat maju jaya,” ucapnya di laman Insta Story.

Sebelum ini Majoriti melaporkan, bekas pemain Malaga CF itu dikaitkan bakal beraksi bersama dua kelab pencabar utama Liga Super pada jendela perpindahan Julai nanti iaitu Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC.

Walaupun khabar angin semakin bertebaran, namun Cifu kekal berdiam diri mengenai penghijrahannya ke kelab baharu menjelang jendela perpindahan kedua nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram