[VIDEO] Dua tonggak Man United perang mulut di Old Trafford selepas tundukkan Aston Villa


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Manchester United mencengkam kedudukan ketiga EPL selepas meraih tiga mata di laman sendiri sebaik menewaskan Aston Villa pada Ahad. — Agensi

MANCHESTER United meneruskan rentak cemerlang mereka untuk menduduki kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Aston Villa pada Ahad.

Jaringan pemain tengah, Bruno Fernandes pada minit ke-39 perlawanan membezakan kedua-dua pasukan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Old Trafford, Manchester itu.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik perhatian dalam pertembungan itu adalah apabila kelihatan dua tonggak skuad The Red Devils, Casemiro dan Fernandes bertikam lidah selepas wisel penamat ditiupkan.

Perkara itu sempat dirakam sebelum disaksikan ribuan penyokong bola sepak antarabangsa, sekali gus mencetuskan kontroversi berkenaan hubungan di antara mereka.

Lebih memanaskan lagi keadaan adalah apabila penonton di seluruh dunia mendapati berlakunya perselisihan faham kecil antara Fernandes serta pemain sayap mereka, Jadon Sancho.

Mengulas akan insiden itu, pemain tengah antarabangsa Portugal itu berkata, perkara itu tidak menjejaskan segala usaha yang sedang dibangunkan mereka kerana ia menunjukkan semua pemain bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan.

"Ia amat penting buat kami kerana aksi secara profesional sering mendahagakan kemenangan. Kami tidak kisah lawan kami kerana kami tahu bahawa kami merupakan sebuah pasukan yang bagus selepas tidak mencatatkan sebarang kekalahan selepas 10 perlawanan.

"Kami akui kami memiliki sebuah pasukan yang baik, pemain yang cukup hebat tetapi kami juga perlu percaya bahawa kami boleh melakukannya," katanya.

Kedua-dua mereka sebelum ini pernah berada dalam situasi sama ketika kemenangan juara EPL 13 kali itu ketika perlawanan akhir Piala Liga menentang Newcastle United 26 Februari lalu.

Manchester United bakal bertemu Brighton & Hove Albion dalam perlawanan ke-33 mereka dalam liga pada Jumaat dengan mereka berpeluang untuk menduduki tangga ketiga jika mencatatkan kemenangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram