Belum sah lagi, tetapi CEO Sabah FC sudah 'kantoikan' import baharu Sang Badak


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Marzuki difahamkan sedang dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti skuad mereka. — Facebook/Sabah FC

KEJAYAAN Sabah FC untuk menempatkan diri di pentas Asia menyaksikan pasukan itu bakal berdepan saingan lebih mencabar termasuk perubahan struktur format Liga Super pada 2023.

Ketika ini, dalam usaha mempersiapkan skuad, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mendapatkan beberapa pemain baharu sepanjang jendela perpindahan ini.

Antaranya, penyerang kebangsaan, Darren Lok dan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria menjadi rekrut awal selepas membuktikan kemampuannya bersama pasukan masing-masing.

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Badak juga mendapatkan khidmat beberapa import baharu, termasuk Gabriel Peres dan Telmo Castanheira yang sedikit sebanyak menggembirakan penyokong.

Namun, mereka dilihat masih belum berpuas hati apabila terdapat khabar angin Sabah FC bakal menggunakan kesemua sembilan kuota import untuk musim akan datang.

jailton_paraiba

Paraiba dikaitkan dengan Sabah FC selepas aksi cemerlang di China.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Malayantigerfans, pasukan Borneo itu berminat untuk menajamkan lagi jentera serangan pasukan dengan khidmat pemain sayap kelahiran Brazil, Jailton Paraiba.

Ketika ini, pemain berusia 32 tahun itu terikat bersama kelab kerdil berpangkalan di China, Qingdao Youth Island yang mana dia merupakan antara penyumbang terbaik buat pasukan.

Dalam 28 penampilan, Paraiba berjaya merekodkan lapan jaringan peribadi dan lima bantuan gol untuk membantu pasukan itu menduduki tangga kesembilan daripada 18 kelab.

Bagaimanapun, perkara itu masih berstatus khabar angin dengan pihak pengurusan masih mengambil pendekatan berdiam diri mengenai aktiviti mereka ketika jendela perpindahan.

Tetapi, bagi penyokong Sabah FC, Azizul Abd Kassim, dia mendapati ura-ura itu seolah-olah benar apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir mengikuti laman Instagram penyerang itu.

"Kalau tengok di YouTube memang laju. Tinggi 1.66m, orang rendah ini titik gravitinya memang susah dijatuhkan seperti Lionel Messi dan dia punya cara keraian gol akrobatik seperti Nani.

"Harap-harapnya perpindahan ini menjadi realiti. Lagipun, berdasarkan Instagramnya, dia sudah pun di-'follow' oleh CEO Sabah FC, Marzuki Nasir," katanya.

Hal itu seakan-akan mengesahkan perpindahan berkenaan dengan skuad Sang Badak masih memerlukan pemain di posisi tersebut dengan usia Amri Yahyah semakin lanjut.

Jadi, kehadirannya itu pasti akan menambah sengat buat pasukan itu yang bakal membuat penampilan pertama dalam Piala AFC sejak 1995. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram