Gagal capai potensi atau salah pilih kelab? Ini 3 'wonderkid' yang hilang dari radar Liga M


  • Podium
  • Rabu, 18 Jan 2023

Pemilihan kelab dan gagal bersaing dikatakan menjadi punca sebilangan daripada 'wonderkid' tanah air lesap daripada kancah bola sepak domestik.

ISTILAH wonderkid sering didengari dalam dunia bola sepak baik dalam Malaysia mahupun di luar negara, merujuk kepada bintang yang menyerlah ketika mereka di usia muda.

Kebiasaannya golongan pemain yang mendapat gelaran wonderkid itu akan memikul beban berat berikutan orang sekeliling meletakkan harapan setinggi gunung kepada mereka untuk menjadi bintang terbaik pada suatu hari nanti.

Meskipun ada pemain sewaktu mudanya mendapat perhatian daripada beberapa kelab terkenal tanah air, tidak dapat dinafikan ada di antara mereka yang semakin pudar daripada Liga Malaysia (Liga M).

Faktor seperti masalah kecederaan, pemilihan kelab dan gagal bersaing dikatakan menjadi punca sebilangan daripada wonderkid tanah air tiba-tiba lesap daripada kancah bola sepak domestik.

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dulunya digelar prospek bola sepak negara namun kian hilang dari radar Liga M:

1) Ash Hameed

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.31.27

Ash sewaktu menyarung jersi Kelantan. — Instagram/Ash

Siapa yang masih mengingati pemain muda tempatan, Ash Hameed yang menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas berjaya melebarkan sayap bersama akademi Queen Park Rangers (QPR) pada usia 13 tahun.

Selepas empat musim berkelana di bumi England, Ash kembali ke Malaysia pada 2014 dengan menyertai pasukan Kelantan pada usia 16 tahun.

Pasukan Kelantan yang pada ketika itu dibimbing oleh George Boateng melihat wonderkid berkenaan mampu menandingi pemain utama skuad The Red Warriors (TRW) pada ketika itu.

Bagaimanapun, kariernya bersama skuad Kelantan tidak bertahan lama kerana berlaku sedikit perselisihan antara Ash dan pemain TRW, Wan Zack Haikal sehingga bintang muda itu terpaksa beraksi bersama pasukan baharu, Real Mulia FC.

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.31.44

Ash kini aktif bermain sukan Teqball. — Instagram/Ash

Selepas tidak berjaya menembusi kesebelasan utama Real Mulia, Ash mula menyertai pasukan MIFA yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2016.

Pada 2017, dengan pengalaman yang ada, Ash dipanggil menyertai latihan pusar skuad Projek Sukan SEA 2017, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditimpa kecederaan ACL selama lebih setahun.

Di usianya 22 tahun, sebuah kelab amatur, Pandan United Football Club (PUFC) berminat untuk mengembalikan semula prestasi Ash seperti dulu serta meningkatkan tahap fizikalnya.

Menjengah di laman Instagram pemain itu, Ash yang sudah berusia 25 tahun kini dilihat seperri sudah bersara daripada dunia bola sepak dan kini mewakili Malaysia dalam sukan Teqball.

2) Mohammad Alias Alan

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.31.09

Alias Alan bersama Luqman Hakim pada suatu ketika dahulu. — Agensi

Sebut saja Luqman Hakim Shamsudin dan Sikh Izhan Nazrel, pasti ramai mengenali kedua-dua pemain itu, namun nama Mohammad Alias Alan agak kurang popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Prospek negara itu cukup dikenali sebagai antara produk kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Akademi Mokhtar Dahari yang berjaya pada suatu ketika dahulu.

Dia yang pernah menyarung lilitan kapten bersama NFDP, Alias Alan berjaya membantu mencipta pasukannya mencipta sejarah apabila menjuarai kejohanan berprestij peringkat bawah umur, 2015 Ibercup Costa del Sol di Sepanyol.

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.30.56

Alias Alan berharap ada kelab yang akan berminat untuk menggunakan khidmatnya pada musim ini. — Agensi

Akan tetapi, selepas mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL), Alias Alan semakin kurang mendapat perhatian daripada mana-mana kelab.

Alias Alan juga pernah beraksi bersama Selangor FC II namun gagal menembusi pasukan utama kelab berpangkalan di Lembah Klang tersebut.

Perkembangan terbaharu mengenai pemain kelahiran Sabah itu difahamkan tidak bermain dengan mana-mana pasukan dan masih mencari kelab yang menginginkan khidmatnya.

3) Rozaimi Abdul Rahman

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.32.01

Rozaimi juga menjalani proses pemulihan ketika bersama JDT. — Instagram/Rozaimi

Nama Rozaimi Abdul Rahman sebelum ini dianggap sebagai antara bakat muda terbaik pernah dimiliki oleh negara sehingga kehebatannya di hadapan gawang lawan menyebabkan dia digelar ‘Neymar Malaysia’.

Namun, karier pemain berkenaan tidak berjalan dengan lancar apabila dia mengalami kecederaaan akibat kemalangan jalan raya pada 2015 dan ia merupakan antara perkara yang dilihat membantutkan potensi pemain itu.

Sebelum kemalangan berkenaan, Rozaimi memberikan khidmatnya bersama negeri kelahirannya, Sabah FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor.

WhatsApp Image 2023-01-17 at 21.31.17

Rozaimi kini berkhidmat sebagai pencari bakat muda Sabah FC. — Instagram/Rozaimi

Selepas insiden menyayat hati menimpa penyerang itu, Rozaimi cuba untuk mengembalikan potensinya dengan menyertai Kedah pada musim 2020.

Rozaimi sempat melakukan sembilan penampilan bersama pasukan dari utara tanah air itu sebelum kontrak beliau bersama Kedah ditamatkan secara persetujuan bersama.

Terkini, bekas penyerang Harimau Muda A itu merupakan Penolong Ketua Panel Pemilih dan Pencari Bakat Sabah FC merangkap Ketua Media Bawah 21 Tahun pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram