PERTEMBUNGAN aksi Liga Super antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) pastinya menghangatkan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.
Sebelum ini, JDT berjaya memusnahkan rekod kebal 23 perlawanan tanpa kalah KL City di laman sendiri selepas tewas 0-3 kepada skuad Harimau Selatan pada 6 April lalu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Kuala Lumpur.
KL City yang juga menjuarai Piala Malaysia 2021 pula sudah pasti tidak mahu berputih mata di tempat lawan dan sekurang-kurangnya ingin mencuri satu mata.
Bojan Hodak mengharapkan pemain KL City kekal displin dan bersabar dalam merangka setiap gerakan. — Agensi
Bercakap mengenai perlawanan itu, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, KL City kini sudah bersedia namun mempunyai sedikit masalah berhubung kecederaan pemain.
"Kami mempunyai banyak pemain yang mengalamai kecederaan, pergantungan dan beberapa pemain yang tidak sihat, jadi keseluruhan pemain yang boleh beraksi hanyalah 14 orang sahaja.
"Jadi untuk perlawanan menentang JDT pada Isnin (malam ini), saya rasa ini bukan situasi yang baik tetapi kami tetap akan memberikan persembahan yang baik untuk mendapatkan keputusan positif.
"Beberapa pemain utama kami seperti Irfan Zakaria, Ryan Lambert, Zhafri Yahya, Ahmad Fauzi, Kenny Palraj, J. Partiban dan beberapa pemain lagi tidak dapat turun beraksi," katanya pada Majoriti.
Ujian pertama Bidoglio dalam membimbing pasukan JDT menetang KL City pada Isnin. — Facebook/JDT
Mengulas lanjut, beliau berkata, persediaan skuad City Boys kali ini tidak begitu baik kerana isu kecederaan berbanding pasukan lawan yang mempunyai lebih ramai pemain berkualiti jika pemain utama mereka tidak beraksi.
"Persediaan kami tidak begitu mudah kerana isu kecederaan dan faktor kesihatan yang dialami oleh pemain, kerana kami hanya mempunyai skuad yang sangat kecil.
"Masalah utama dalam skuad KL City ialah kecederaan, manakala pasukan lawan tidak akan merasai tekanan itu jika tonggak utama mereka cedera, bagi kami pula setiap pemain sangat penting walaupun seorang pemain yang cedera.
"Saya mahu pemain kekal displin dan bersabar dalam merangka setiap gerakan," ujar Bojan.
Pada masa sama, turut menjadi persoalan dalam kalangan peminat sama ada skuad City Boys mampu untuk melunaskan dendam mereka dengan mengambil kira kekuatan lebih mantap dimiliki skuad Harimau Selatan yang dibimbing pengendali baharu, Héctor Bidoglio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram