SAINGAN suku akhir Piala Belia 2022 yang berlangsung pada Ahad menyaksikan empat pasukan berjaya menempah slot separuh akhir yang dijadual berlangsung 7 dan 14 Ogos ini.
Empat pasukan yang muncul sebagai semifinalis itu adalah Selangor FC, PJ City FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC.
Cuma, sedikit mengecewakan apabila pasukan yang melahirkan bakat-bakat muda seperti Akademi Mokhtar Dahari Bawah 16 Tahun (AMD B-16) dan Johor Darul Takzim (JDT) IV gagal mara ke peringkat seterusnya.
Skuad AMD B-16 yang diibaratkan seperti kilang melahirkan 'ubi muda' itu terpaksa menerima kekalahan memalukan apabila teruk dibelasah pasukan Selangor FC.
Selangor FC selaku juara dua kali pada kejohanan 2013 dan 2015 itu menewaskan AMD B-16 7-0, menyaksikan Selangor menang dengan agregat 8-3.

Selangor FC menang dengan agregat 8-3 ke atas skuad AMD B-16. — Facebook
Sementara itu, JDT IV kalah 0-2 di tangan PJ City FC yang menyaksikan pasukan itu tewas dengan agregat 2-3.
Turut menerima nasib sama adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang tewas 1-3 kepada Terengganu FC IV. Terengganu FC IV mara sebagai semifinalis dengan agregat 4-2.
Sri Pahang FC pula menang 1-0 dengan Kelantan United FC. Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang FC mara ke separuh akhir menerusi peraturan gol tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat menerusi agregat 2-2.
Pada separuh akhir nanti, Selangor FC akan menentang PJ City FC manakala Terengganu FC IV bertemu Sri Pahang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
