Liverpool lamar bintang ‘buangan’ Real Madrid


  • Podium
  • Khamis, 30 Jun 2022

Liverpool dikatakan sudah memulakan usaha melamar Marco Asensio (dua kiri). — Agensi

PERPINDAHAN bintang 'buangan' Real Madrid, Marco Asensio ke Liverpool semakin hangat diperkatakan.

Menerusi laporan berita Sepanyol Cope, Liverpool telah membentangkan tawaran untuk menandatangi pemain sayap Real Madrid itu.

Menurut laporan itu, pemain terbabit mempunyai keinginan untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan.

Perkara itu dibangkitkan selepas melihat Kylian Mbappe yang tidak akan berpindah ke Bernabeu pada musim panas kali ini.

Namun difahamkan, kontrak Asensio bersama Real Madrid akan berakhir dalam tempoh 12 bulan dan kelab tersebut masih belum dapat menentukan masa depan pemain terbabit.

Disebabkan itu, Liverpool disebut-sebut sebagai destinasi terbaik Asensio meskipun pada masa sama AC Milan turut dilaporkan membuat tawaran.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkemungkinan akan memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan barisan penyerang selepas kehilangan Sadio Mane, Taki Minamino dan Divock Origi dalam musim panas ini.

Tidak dinafikan, keraguan kelab dan peminat masih menebal terhadap masa depan Mohamed Salah di Anfield, maka usaha menandatangani Asensio mampu menjadi peluang terbaik untuk menambah pemain berpengalaman dalam skuad The Reds.

Sejak menyertai Los Blancos pada 2015, pemain sayap Sepanyol itu telah memenangi tiga trofi Liga Juara-juara dan tiga gelaran La Liga termasuk menjaringkan 49 gol dalam 235 penampilan.

Walaupun bergelut untuk mendapatkan masa permainan dengan hanya 59 minit secara purata bagi setiap perlawanan musim ini dalam La Liga, Asensio mampu membuktikan bahawa dia mempunyai keupayaan untuk beraksi pada tahap tertinggi apabila diturunkan.

Permata bernilai £35 juta (RM187 juta) itu dianggap istimewa apabila mampu membuktikan berjaya dalam majoriti percubaan menggelecek dan berada di posisi kesepuluh pemain La Liga membuat percubaan tepat ke sasaran sepanjang 31 penampilan musim ini.

Berdasarkan keserasian, Klopp dan Liverpool juga boleh mendapatkan khidmat Philippe Coutinho sekiranya pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) menandatangani Asensio.

Coutinho yang juga bekas bintang Liverpool itu dilihat calon paling sesuai untuk digandingkan bersama Asensio.

Sekiranya FSG boleh membuat perjanjian untuk Asensio pada musim panas ini, tidak mustahil satu 'rampasan kuasa' boleh berlaku untuk Liverpool dalam usaha mengejar trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menambah pemain hebat dan penyerang sayap klinikal dalam pasukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram