Mane semakin hampir tinggalkan Liverpool


  • Podium
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Mane menjaringkan 23 gol ketika skuad Klopp memastikan kejuaraan berganda domestik. — Agensi

JUARA Bundesliga Jerman, Bayern Munich dilaporkan bersetuju dengan terma ditetapkan Liverpool untuk menandatangani khidmat Sadio Mane bagi beraksi di Allianz Arena, lapor media tempatan.

Menurut laporan itu, Bayern akan membayar yuran dalam lingkungan 35 juta pound (RM188 juta) untuk penyerang Senegal berusia 30 tahun itu, yang mempunyai baki kontrak setahun bersama Liverpool.

Mane dijangka menandatangani kontrak selama tiga tahun akan menjalani pemeriksaan kesihatan minggu depan.

Tonggak prolifik The Reds itu akan meninggalkan Anfield selepas melakukan 269 penampilan dengan menjaringkan 120 gol dalam semua kejuaraan.

Selain itu, Mane juga merupakan antara pemain yang membantu skuad kendalian Jurgen Klopp merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2018/19 diikuti gelaran Liga Perdana Inggeris semusim kemudian.

Musim lalu, dia yang juga antara pemain terbaik Liverpool menjaringkan 23 gol ketika skuad Klopp memastikan kejuaraan berganda domestik - Piala Liga dan Piala FA dalam koleksi The Reds.

Mane yang memenangi enam trofi kesemuanya berikutan perpindahan 34 juta pound (RM182 juta) dari Southampton pada Jun 2016, membentuk trio serangan digeruni bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Pada bulan Mei, Klopp memuji Mane apabila menyifatkan pemain itu merupakan tonggak kelas dunia sambil menyamakannya seperti 'mesin', pada ketika pemain itu teruja menggalas cabaran baharu, selepas dilaporkan menolak kontrak baharu bersama Liverpool. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram