Hanya 2 pilihan buat Malaysia untuk layak Piala Asia 2023


  • Podium
  • Selasa, 14 Jun 2022

Skuad Harimau Malaya kembali ke padang latihan bagi persiapan menjelang aksi terakhir Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh, malam ini. — Facebook/FAM

PASTI seluruh penyokong berdebar menanti keputusan antara Malaysia dan Bangladesh dalam perlawanan terakhir kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa malam.

Apa tidaknya, rentetan tewas di tangan Bahrain pada Sabtu lepas, skuad kendalian Kim Pan-gon berdepan misi hidup dan mati apabila wajib menewaskan Bangladesh bagi mencerahkan peluang menamatkan penantian selama lebih 40 tahun untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia selepas kali terakhir layak secara merit pada 1980.

panGON

Pan-gon mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah dengan kemampuan Bangladesh.

Bagi menjadikan Malaysia muncul lima pasukan tempat kedua terbaik, skuad kebangsaan bukan sahaja perlu menang ke atas pasukan Bengal Tiger namun pada masa sama harus mendapat jumlah jaringan yang besar, tegas pengulas sukan, Zainal Abidin Rawop.

Pengulas sukan Astro Arena itu berkata, meskipun Bangladesh dalam peringkat kumpulan berada pada kedudukan tercorot, namun Harimau Malaya tidak boleh mengambil mudah kerana aksi yang dipamerkan pasukan itu ketika perlawanan sebelum ini amat cemerlang.

"Saya buat liputan ketika perlawanan Bangladesh menentang Bahrain. Bahrain ketika itu nampak bersusah payah untuk mendapatkan gol dan kemudian ketika lawan Turkmenistan bagaimana kedudukannya adalah terikat 1-1 sebelum Turkmenistan menang 2-1.

"Jadi kita tidak boleh ambil mudah meskipun mereka berada pada ranking terbawah. Kita lihat corak permainan yang mereka pamerkan adalah bersemangat berkumpulan dan larian tanpa henti," katanya menerusi temubual bersama radio ZayanFM dalam segmen #ZayanFit pada Isnin.

Malah, Zainal Abidin juga berharap agar cuaca ketika perlawanan Sabtu tidak berulang lagi pada aksi Selasa kerana padang yang berada dalam keadaan baik sebenarnya memberi kelebihan kepada pemain kebangsaan.

"Kita doakan harapnya cuaca baik dan padang dalam keadaan baik. Dari situ boleh membantu pemain-pemain kita boleh mengelecek dan melakukan aksi tersebut.

"Jika kita bermain dalam keadaan hujan, kita kena fikir corak permainan yang sama ketika lawan Bahrain iaitu hantar cepat, bola ke atas kerana kelebihan kita ialah bola tinggi. Tapi jangan lupa kena lompat.

"Kita amat memerlukan aksi sedemikian untuk menghasilkan jaringan memandangkan kelebihan dari segi ketinggian akan dimiliki oleh penyerang-penyerang Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menyeru untuk penyokong Malaysia turun menyaksikan perlawanan menentang Bangladesh pada Selasa sebagai tanda sokongan dan membantu menaikkan motivasi pemain selepas kekalahan Sabtu lalu.

"Kepada penyokong Malaysia jadilah pemain ke-12 kerana mood pasukan negara kini rendah ekoran daripada kekalahan tempoh hari.

"Kita sebagai penyokong perlu menaikkan motivasi dan semangat perjuangan mereka. Ingat kita ada perlawanan yang kita perlu menang. Jangan lupa move on, kita perlu teruskan hidup kita," katanya.

Setakat pukul 8 malam Isnin, sebanyak 25,568 tiket telah terjual dan ini menandakan bahawa rakyat Malaysia masih menyimpan harapan besar terhadap pasukan kebangsaan dan diharapkan Harimau Malaya dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong.

Untuk rekod, selepas dua perlawanan, Bahrain kini di tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengutip tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.

Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik dari enam kumpulan layak ke Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram