Kilauan emas Hanoi pemangkin misi TSM Golf Challenge ke-12 memburu 'Malaysian Tiger'


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Dari kiri, Setiausaha Kehormat MGA, Zulkifli Ismail; Mohd. Anwar Mohd. Nor; Presiden TSM Golf Challenge, Datuk Ir. Zainuddin Mohd. Radzi; Wan Shalihudin Wan Ibrahim dan Pengarah Kejohanan, Azmi Jusoh.

KEJAYAAN skuad golf negara menamatkan kemarau pingat selama 21 tahun di Sukan SEA Hanoi, Vietnam baru-baru ini, membuka lembaran baharu dalam sukan itu yang selama ini kurang menjadi tumpuan.

Ervin Chang, K Rhaasrikanesh, Marcus Lim dan A Nateeshvar menempa nama untuk menjadi pasukan ketiga Malaysia mencipta kejayaan itu, sekali gus mengulangi pencapaian kuartet pemenang 1989 iaitu mendiang P Gunasegaran, Johari Sulaiman, Saad Yusuf dan Wong Hung Nung serta Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin pada 2001.

Tetapi kejayaan yang mereka capai ini bukan mudah dan harus diakui bahawa tanpa program pembangunan yang baik serta konsisten, kilauan dua emas, satu perak dan satu gangsa di bumi Hanoi tidak mungkin boleh dikalung dengan mudah.

Rhaasrikanesh atau juga dikenali sebagai Rush menjadi contoh terbaik sebagai pemain yang dicungkil bakatnya menerusi penganjuran pertandingan berprestij tinggi yang diadakan di negara ini sebagai salah satu program pembangunan bagi membantunya untuk terus cemerlang dalam sukan golf.

Pemain berusia 21 tahun itu antara 'produk' yang dihasilkan menerusi penganjuran TSM Golf Challenge anjuran Yayasan TSM Charity Golf (TSMCG) yang sudah memasuki edisi ke-12 pada tahun ini selepas kali pertama diperkenalkan pada 2006.

Rush menjuarai TSM Golf Challenge ke-11 pada 2019 ketika berusia 18 tahun bagi kategori lelaki manakala kategori wanita dimenangi oleh Winnie Ng.

HANOI, 18 Mei -- Pemain golf berpasukan lelaki negara (dari kiri) Nateeshvar, Ervin Chang, Rhaasrikanesh dan Marcus Lim memenangi pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Heron Lake Golf Course, Hanoi.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dari kiri: Nateeshvar, Ervin Chang, Rhaasrikanesh dan Marcus Lim memenangi pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Heron Lake Golf Course, Hanoi. — Bernama

Kejayaan di Hanoi juga menjadi titik tolak dan pemangkin semangat YTSMCG untuk meneruskan penganjuran kejohanan penting itu dalam kalendar Persatuan Golf Malaysia (MGA) dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mencungkil bakat-bakat baharu.

Kini selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19, cabaran TSM Golf Challenge ke-12 diteruskan dengan misi mencari Harimau Malaysia dalam sukan golf selepas kejayaan Rush mengharumkan nama negara di persada Asia Tenggara.

Pengerusi kejohanan TSM Golf Challenge, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata, TSM Golf Challenge ke-12 bakal menyaksikan 88 bakat muda akan bertanding merebut gelaran juara dan pemilihan mereka dibuat berdasarkan kejohanan yang disertai sebelum ini.

Jelasnya, sebagai satu daripada kejohanan berprestij yang ditauliahkan MGA, TSM Golf Challenge ke-12 juga diiktiraf sebagai sebahagian dari World Amateur Golf Ranking yang membolehkan para pemain mengumpul mata untuk ranking dunia mereka.

"Pengiktirafan TSM Golf Challenge ke ranking amatur dunia juga menjadi satu titik tolak kepada pemain-pemain muda ini untuk mengumpul mata dan menajamkan kepakaran mereka dan seterusnya melayakkan diri dalam kejohanan sukan Olimpik," katanya pada sidang media selepas pelancaran kejohanan TSM Golf Challenge di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC) pada Khamis.

Sementara itu, Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yakin melalui kejohanan-kejohanan yang berprestij peringkat amatur seperti TSM Golf Challenge ini mampu menjadi platform terbaik bagi para peserta menjadi pemain profesional.

Malah beliau berharap agar lebih ramai yang menyertai sukan golf kerana ia bukan melibatkan soal menjadi atlet semata-mata jika mereka gagal menjadi atlet profesional.

"Pemain yang gagal ke status profesional, mereka tidak perlu berputus asa kerana melalui akademi golf yang ada di bawah kendalian MGA, mereka juga mampu menempatkan diri ke universiti awam di negara ini dalam bidang golf.

“Ini kerana MGA sudah ada memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok bagi program pembangunan golf. Melalui program ini, mereka juga boleh berjaya dalam golf industri walaupun bukan sebagai pemain profesional," katanya.

Kejohanan yang bermula 14 sehingga 16 Jun ini akan berlangsung di KLGCC dengan menyaksikan penyertaan 52 pemain kategori lelaki dengan handicap di bawah 7 dan 36 peserta wanita (handicap bawah 10).

Nama-nama seperti Adam Ariff Madzri, Bryan Tan Wei Han, Malcolm Ting Siong Hung, Eidan Ngah Jamzidi, Marcus Lim, Muhamad Ikhmal Basry, Nateeshvar Anatha Ganesh, Rhaassrikanesh Kanavathi, Angel Hii, Foong Zi Yu, Liyana

Azizan Durisic, Mirabel Ting Ern Hui, Winnie Ng, Lekisha A/P Sasitharan dan Zulaikah Nurziana Nasser dijangkakan memberi satu persaingan yang hebat dan kompetitif pada edisi kali ini.

Tidak dilupakan juga, pemain-pemain muda di bawah Akademi Golf Tunas Bestari kelolaan TSMCG seperti Ezekiel Riz Hafi Suzearitz, Lee Juan Chay, Alya Batrisya Shaari dan Nur Batrisya Balkis dapat melayakkan diri mereka melalui 'wildcards' berdasarkan kemenangan mereka dalam acara-acara kejohanan anjuran badan sukan tempatan.

TSMCG menawarkan pemenang kejohanan ini melalui Geran Pembangunan Golf bernilai RM130,000 untuk yang memperoleh tempat tertinggi dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Biasiswa ini meliputi perbelanjaan untuk tempoh enam bulan hingga satu tahun di program latihan golf dan penyertaan dalam kejohanan berjadual di wilayah yang dikendalikan oleh MGA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram