Nurshamil respons nama 'kena petik' kes rogol usahawan tudung — 'Fitnah akhir zaman'


  • Podium
  • Rabu, 01 Jun 2022

Nurshamil menegaskan, dosa memfitnah bukanlah perkara yang boleh dibuat main.

PENAHANAN seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan pada Selasa sudah tentu menggegarkan arena sukan tanah air.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, tangkapan lelaki berusia 28 tahun itu dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan malam Ahad lalu, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

Justeru, ada pihak sengaja membuat spekulasi sendiri apabila menuduh pemain dari Kelantan sebagai suspek yang bertanggungjawab ke atas kes tersebut.

Antara nama yang menjadi mangsa tuduhan termasuk penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani.

Dakwaan itu dikuatkan kononnya beliau bermain untuk negeri itu serta berusia 28 tahun ketika ini.

Tidak berdiam diri, Nurshamil tampil menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah akhir zaman.

Katanya, beliau ketika ini berada di Sungai Buloh, Selangor untuk menghabiskan masa cuti selama seminggu bersama isteri dan anak-anaknya.

Tambahan pula, beliau masih belum menjejakkan kaki ke Kelantan pada musim ini, berikutan Kelantan FC masih mengadakan sesi latihan di Nilai, Negeri Sembilan.

"Yang hairan tu jenis yang palatao petik-petik nama dengan confident (yakin).

"Nanti dah tahu siapa 'pemain liga tempatan Kelantan yang buat hal tu, jangan lupa buat solat taubat. Sesungguhnya memfitnah itu adalah dosa yang amat besar," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Rabu.

Menerusi satu hantaran lain, Nurshamil mengingatkan kepada pentadbir-pentadbir halaman atau page administrator yang memetik namanya sebagai suspek kes itu bahawa, dosa memfitnah bukanlah perkara yang boleh dibuat main.

"Selagi orang yang difitnah tu tak memaafkan, selagi itu dosa fitnah tak terhapus.

"Dan yang mana masih tertanya, kes ini tak ada kena mengena dengan semua pemain-pemain TRW Kelantan FC," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram