MENJALANI ibadah puasa di siang hari dan kemudiannya turun beraksi dalam perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) pada waktu malam sudah menjadi amalan biasa sekarang ini.
Perlu bermain dengan tahap intensiti tinggi sekitar dua jam lebih selepas waktu berbuka puasa bukan alasan untuk pemain tidak menjalani ibadah puasa pada siang hari.
Tambahan pula kondisi tubuh badan sudah pasti berubah dan berlaku kekurangan tenaga kerana seharian tubuh badan tidak menjamah makanan dan minuman.
Menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan oleh para pemain sepanjang Ramadan.
"Sewaktu berbuka puasa, makanlah banyak karbohidrat seperti nasi, kentang dan gandum tetapi kurangkan pengambilan makanan berlemak.
"Pengambilan karbohidrat adalah penting kerana membekalkan sumber tenaga untuk latihan dan perlawanan.
Para pemain terpaksa melalui perlawanan berintensiti tinggi selepas waktu berbuka puasa. — Facebook Terengganu FC
"Pengambilan makanan berlemak pula akan melambatkan penyerapan dan boleh mengundang masalah perut kembung dan tak selesa ketika bermain nanti.
"Sebaik-baiknya jangan makan terlalu kenyang hingga menyebabkan proses penghadaman mengambil masa yang lama dan boleh menyebabkan mengantuk serta badan menjadi lemah.
"Tahan sedikit nafsu dan makanlah berpada-pada kerana anda akan turun beraksi dalam perlawanan sebentar nanti.
"Semasa latihan atau perlawanan, sebaiknya ambil minuman isotonik atau minuman sukan. Ia berfungsi menambah air dan mineral yang hilang akibat berpeluh, selain mengembalikan sumber tenaga," katanya kepada Majoriti.
Aksi Liga-M pada musim ini berlangsung sekitar pukul 10 malam bagi kebanyakan perlawanan namun ada juga yang diadakan pada pukul 9 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram