'Lawan team M3, time ni la turun pemain tempatan' — Kapten BRM FC


  • Podium
  • Isnin, 14 Mac 2022

AKSI pemain BRM FC ketika menentang JDT pada pusingan pertama kalah mati saingan Piala FA di di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad lalu. — Bernama

KEMENANGAN besar JDT yang berjaya menjaringkan 10 gol berbalas kosong terhadap pasukan liga M3, BRM FC di dalam saingan Piala FA nampaknya menjadi tumpuan bagi kedua-dua pasukan.

Ada yang bangga dengan kejayaan JDT namun ada juga yang menganggap kejayaan itu sesuatu yang sangat tidak adil untuk dibanggakan apatah lagi bersaing dengan pasukan yang jauh lebih kecil berbanding mereka.

Penonton bola sepak tempatan juga nampaknya berbalah antara satu sama lain terutamanya dengan taktikal yang digunakan oleh JDT apabila menurunkan pemain import mereka ketika menentang pasukan kecil.

Mengulas mengenai perkara itu, pemain pertahanan kiri BRM FC, Azmeer Yusoff juga menyatakan rasa tidak puas hati apabila ada yang memperkecilkan keupayaan pasukannya ketika menentang pasukan gergasi seperti JDT.

"Kena realistik la sikit. Kami ni pasukan liga M3, JDT tu pasukan yang besar. Pasukan Liga Super pun ada yang kalah dengan JDT. Bajet kami pun hanya RM500,000 ke RM600,000 setahun sedangkan JDT mempunyai bajet puluhan juta ringgit.

"Tak boleh nak jangka apa-apa. Dapat bermain di JDT punya padang pun dah satu rahmat. Cuma tidak adil la bagi JDT menurunkan semua pemain import untuk menentang kami, pemain yang tak berpengalaman.

"Lawan dengan pasukan liga M3 yang seratus peratus pemain tempatan. Sepatutnya jurulatih turunkan juga pemain tempatan untuk menentang kami," katanya.

Dalam pada itu, Azmeer berkata, BRM FC sudah memberikan yang terbaik ketika menentang JDT dan bermain dengan taktikal mereka, bukannya sekadar 'parking bas' seperti yang dilakukan pasukan lain sebelum ini.

Jelas Azmeer, individu yang membuat perbandingan terhadap BRM FC sepatutnya melihat kedudukan mereka di liga M3 dan tidak perlu nak mengungkit berkaitan dengan jumlah jaringan gol ketika menentang JDT.

"Saya bukan tak boleh terima, boleh sahaja terima, tiada masalah. Cuma lawan dengan pasukan lain pun memang bagi saingan sengit. Jadi kena realistik la sikit. Tak adil untuk buat perbandingan antara kami (pasukan kecil dengan pasukan besar)," katanya.

Terdahulu, kemenangan besar JDT menang 10-0 ke atas BRM FC turut menjadi perdebatan apabila ada penyokong yang menganggap bahawa jumlah jaringan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan bagi satu perlawanan dalam saingan Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

podium, jdt, brm fc, bola sepak, piala FA