Tiada zuriat bukan alasan kahwin dua, lelaki anggap urusan rezeki anak rahsia tuhan


  • Relaks
  • Khamis, 08 Mei 2025

Mohd Rahmat (kanan) menganggap isteri (kiri) bukan sekadar pasangan hidup tetapi seorang sahabat sejati yang sentiasa berada di sisi.

DALAM dunia yang majoriti masyarakatnya diukur tahap kebahagiaan sesebuah rumah tangga mereka berdasarkan kehadiran cahaya mata, seorang lelaki, Mohd Rahmat tampil dengan satu perspektif berbeza penuh makna.

Luahan beliau yang tular dalam laman sosial baru-baru ini membuka mata ramai tentang apa itu cinta yang sebenar.

Dia berpendapat cinta bukan sekadar perasaan kurniaan Tuhan tetapi cinta juga terletak kepada kesetiaan dan pengorbanan yang menurutnya, tidak ternilai harganya.

BACA LAGI: Ingin rumah lebih tersusun dan bergaya? 5 tip guna 'built-in dengan cara bijak, kreatif

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat cantik tapi jaga solat dan pandai masak, Eyka Farhana disifatkan sebagai 'bahan isteri'

Kisah itu diceritakan Mohd Rahmat apabila dia menerima komen daripada seseorang yang tidak dikenali apabila individu terbabit bertanyakan andai dia mahu berkahwin lagi untuk mendapatkan zuriat.

"Tak salah kahwin satu lagi, mana tahu (dengan perkahwinan bersama) isteri kedua itu dapat anak. Aku nampak kau tu mampu," demikian pertanyaan individu terbabit.

Walaupun Rahmat seorang yang gemar bergurau dan mudah mesra, pertanyaan berkenaan terus mengganggu perasaannya.

Rahmat berkata, dia ada batasan dalam setiap gurauan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal hati, perasaan dan rumah tangga.

"Saya ini mudah mesra, suka bergurau tetapi ada perkara yang tidak boleh dijadikan bahan jenaka. Terutama apabila ia menyentuh soal perasaan dan rumah tangga," kata Rahmat.

Baginya, pertanyaan itu lebih daripada sekadar gurauan ringan. Ia menganggu perasaan kerana Rahmat amat menghargai setiap detik yang dilalui bersama isterinya.

Katanya lagi, isteri bukan sekadar pasangan hidup tetapi seorang sahabat sejati yang sentiasa berada di sisi, menyokong dan memberi kekuatan ketika dia berasa lemah.

"Isteri saya sekarang, dia adalah insan yang sentiasa ada ketika saya tidak punya apa-apa. Dialah penenang ketika saya goyah.

"Dialah penguat ketika saya hampir rebah. Apa yang saya miliki hari ini sebahagiannya adalah hasil doa dan sokongan ikhlas daripadanya," katanya.

Luahan hati Rahmat bukan sekadar cerita tentang kebahagiaan rumah tangga tetapi juga tentang erti cinta sebenar.

"Jika anak itu belum rezeki kami, biarlah ia menjadi rahsia antara kami dan Tuhan. Saya tetap akan memilih isteri saya.

"Kerana cinta yang sebenar tidak diukur dengan zuriat, tetapi pada kesetiaan dan doa yang tidak pernah berakhir," katanya.

Walaupun Mohd Rahmat tidak menentang poligami, beliau menegaskan bahawa cinta dan tanggungjawab dalam perkahwinan lebih daripada sekadar kemampuan material.

Cinta yang tulus memerlukan kesediaan yang lebih mendalam, bukan hanya dari segi kewangan tetapi dari segi pengorbanan dan kesetiaan.

"Saya tak halang sesiapa yang mahu menambah isteri tetapi saya belum cukup mampu untuk itu," katanya.

Di ruangan komen, ramai yang memberikan sokongan terhadap pendirian beliau.

Antaranya, Hafsah Mohamad Ali, yang mengingatkan kita bahawa segala ujian adalah rahsia ALLAH dan setiap rezeki ada hikmahnya:

"Benar, semua itu rahsia ALLAH. Siapa kita nak mempertikaikan rezeki yang Dia beri. Semua itu ujian.

"Ada anak, ujiannya begini; tiada anak, ujiannya begitu. Tabahlah tuan, Insya-ALLAH, ALLAH hanya menangguhkan benda baik di sana," kata Hafsah.

"Betul tuan, tak semua orang faham erti pengorbanan yang sebenar," kata Nurul Aini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram