BERIKUTAN kemajuan teknologi perbankan yang telah memupuk masyarakat untuk mengamalkan pembayaran secara digital, penggunaan wang tunai kini dilihat semakin berkurangan digunakan.
Sehinggakan rata-rata penunggang motosikal sudah terbiasa menggunakan sistem imbasan kod QR untuk membeli makanan atau mengisi minyak menggunakan kad debit serta aplikasi.
Namun, adakah kaedah tersebut menyebabkan penunggang jentera tersebut tidak perlu lagi membawa sebarang wang tunai di dalam poket? Adakah ia sudah tidak relevan? Jawapannya tidak, wang tunai masih penting untuk dibawa ke mana sahaja ketika menunggang motosikal.
Sebagai seorang 'rider', sudah pasti anda akan berhenti di mana-mana stesen minyak untuk mengisi bahan api terutamanya untuk perjalanan jarak jauh.
Ketika ini, ramai yang menggunakan kad debit atau imbasan kod QR demi menjimatkan masa dan memudah cara.
Tetapi bagaimana pula dengan lokasi stesen di bahagian pedalaman atau kampung-kampung? Adakah anda pasti stesen di sana juga menggunakan teknologi pembayaran digital seperti di bandar-bandar besar?
Stesen minyak Buraq Oil antara stesen 'old school' dan banyak berada di kawasan pedalaman terutamanya di bahagian Utara.
Jangan ambil mudah, masih terdapat lagi segelintir stesen minyak yang berkemungkinan tidak menggunakan teknologi tersebut dan menganggap semua stesen minyak sudah mengguna pakai kaedah pembayaran digital tersebut.
Lagipun, banyak golongan berusia di kampung tidak suka cara pembayaran tersebut dan lebih gemar menggunakan kaedah ‘old school’. Tambahan pula, ciri teknologi sentuh yang diguna pakai pada telefon pintar juga jarang diminati oleh golongan tersebut.
Masih berada di lokasi stesen minyak, wang tunai juga akan menjadi penyelamat penunggang motosikal sekali lagi jika telefon anda kehabisan bateri.
Maka tidak hairanlah boleh dikatakan bahawa benar seperti dikatakan ‘cash is king’. Ya, keadaan seperti itulah yang membolehkan anda untuk mempraktikkan kenyataan tersebut.
Di samping itu, kegunaan wang tunai juga boleh digunakan ketika berlaku kecemasan pada motosikal anda seperti tayar pecah di tengah jalan terutamanya pada waktu malam.
Wang tunai boleh menjadi pilihan untuk membayar kos alat ganti atau upah kepada mekanik yang hadir untuk membantu anda ketika kecemasan.
Ada kalanya, wang tersebut boleh menjadi pilihan untuk membayar kos alat ganti atau upah kepada mekanik yang hadir untuk membantu, selain daripada menggunakan transaksi perbankan secara dalam talian.
Sungguhpun bateri telefon anda penuh dan mempunyai kad debit yang sah untuk membuat pembayaran, kekuatan atau gangguan rangkaian internet masih menjadi cabaran kepada penunggang walaupun berada di stesen minyak kawasan bandar.
Apatah lagi jika terdapat liputan rangkaian telekomunikasi yang berbeza-beza kekuatannya internet mengikut lokasi.
Amalkan untuk meletakkan sedikit wang di bawah tempat duduk motosikal dan gunakannya ketika kecemasan sahaja.
Itu belum dikira lagi dengan masalah teknikal yang dialami pihak perbankan atau 'cash reader' (pengimbas kad bank), yang boleh mengundang kesulitan buat rider mahupun peniaga untuk menjalankan urus niaga.
Lihat sahaja bagaimana rakyat China berdepan kesulitan untuk berurus niaga ketika taufan melanda negara itu baru-baru ini, menyaksikan rangkaian internet dan telekomunikasi terjejas.
Maka, tidak salah rasanya jika kita mengamalkan untuk meletakkan sedikit wang tunai misalnya dua keping RM50 di bawah tempat duduk motosikal dan jangan sesekali mengusiknya. Hanya keluarkannya untuk kegunaan kecemasan sahaja.
Bagaimanapun, diingatkan supaya tidak membawa wang tunai terlalu banyak di tangan kerana dikhuatiri ada individu yang mengikuti dari belakang dan berniat untuk merompak anda.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram