PENYANYI Heidi Moru tidak menyangka lagu berjudul Derana mampu tercalon sebagai salah sebuah lagu yang berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2023 (#ALI2023) pada 7 Mac nanti.
Lagu Derana yang dibawa oleh Heidi Moru feat Ruang Hati mendapat tempat dalam top five bagi kategori Pop Terbaik.
Bercakap soal persiapan menjelang #ALI2023, penyanyi kelahiran Keningau, Sabah itu memilih untuk tampil berbeza kali ini dengan gaya rambut berwarna blonde.
Bagi persiapan dari sudut pemilihan pakaian, Heidi turut meluahkan keinginannya untuk mendapatkan rekaan baju daripada mana-mana pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Katanya, dia tertarik melihat pertunjukan peragaan fesyen UiTM yang sering kali tular di media sosial dan mendapat perhatian umum.
Heidi Moru mendedahkan sebelum ini pernah mendapatkan khidmat rakannya yang juga seorang pelajar untuk menyiapkan busana bertemakan bulan bagi pentas akhir #ALI2021.
Malah, Heidi Moru memiliki keinginan sebegitu kerana berpendapat #ALI2023 merupakan cara terbaik untuk membantu mengembangkan bakat pelajar jurusan fesyen di luar sana.
"Apa yang saya boleh buat untuk bantu mereka, saya akan tolong buat. Bagi saya #ALI2023 adalah platform terbaik untuk naikkan nama pelajar yang membuat rekaan baju.
"Saya tak mengehadkan jumlah untuk sesuatu rekaan, tak kisah berapa jumlah (baju)," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, bekas bintang RTM 2018 itu juga pernah mendapat sentuhan magis daripada rakannya yang bergelar pelajar untuk berada di pentas Anugerah Lagu Indie 2021.
"Waktu #ALI2021, saya minta seorang rakan yang tengah belajar di universiti awam untuk buat rekaan baju bertemakan bulan.
"Kawan saya beri kebebasan untuk pilih baju macam mana yang saya mahukan... mudah untuk bekerjasama dengan dia dan sekarang dia dah jadi pereka baju terkenal," ceritanya.
BACA LAGI: 15 finalis berentap rebut gelaran juara Anugerah Lagu Indie 2023, bawa pulang RM36,000
Haszhishaam pernah diberi kepercayaan untuk menghasilkan busana artis lain seperti Aina Abdul.
Heidi mendedahkan nama rakannya itu, Haszhishaam yang kini mendapat kepercayaan ramai penggiat seni lain dalam menghasilkan rekaan baju.
Antara artis yang pernah mendapat sentuhan magis Haszhishaam ialah Aina Abdul, Wawa Zainal, Ziana Zain, Ernie Zakri, Shila Amzah dan Anzalna.
Dalam pada itu, Heidi Moru atau nama sebenar Heidi Vanessa Moruning turut berharap mampu melebarkan sayap ke luar negara suatu hari nanti.
"Saya teringin menembusi pasaran luar negara untuk mempromosikan muzik yang dibawa.
"Antara negara yang saya teringin untuk buat persembahan adalah Indonesia dan Singapura sebab saya rasa ada peluang naikkan market lagu ini di negara tersebut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram