Sekali lagi terlepas ‘call up’ Filipina, latar belakang Arribas terus cetus tanda-tanya


  • Podium
  • Ahad, 16 Nov 2025

Arribas mula meletakkan namanya sebagai antara tonggak utama skuad Harimau Selatan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERANAN besar dipikul pemain sayap, Oscar Arribas buat Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini berbanding kempen terdahulu apabila dia boleh diangkat sebagai antara tonggak utama buat Xisco Munoz.

Daripada 16 penampilan direkodkan setakat ini, bintang berusia 27 tahun tersebut sudah mencatatkan lima gol dan lapan bantuan jaringan yang mengukuhkan dominasi skuad Harimau Selatan.

Malah, sumbangan dicurahkan pemain itu juga cukup penting kerana Arribas menjaringkan gol ketika kemenangan pasukannya ke atas Chengdu Rongcheng dan Shanghai Shenhuda dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

BACA LAGI: Bek muda dari Wolves, Singapura dan Filipina sesuai jadi pengganti Safuwan lepas dibuang Kinoshi

BACA LAGI: Lepas sambar Aguero dan bek Filipina, pencabar baharu wajar rekrut 3 bintang Asean All Star

Arribas sudah bermusim-musim menjadi nadi utama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ini sudah cukup untuk menceritakan bagaimana pentingnya pemain terbabit buat JDT dengan reputasinya pasti semakin berkembang di Asia.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, Arribas masih belum diberi peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa meskipun layak untuk beraksi buat Filipina.

Berdasarkan senarai panggilan terbaru skuad The Azkals, tonggak JDT itu disisihkan ketua jurulatih, Carles Cuadrat untuk aksi menentang Maldives pada Selasa depan.

Ketiadaan nama Arribas menimbulkan tanda-tanya, terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang percaya pemain berkenaan mampu membantu Filipina.

"Skuad kelayakan Piala Asia buat Filipina tiada pemain dari ACL Elite, termasuk Oscar Arribas. Untuk layak ke Piala Asia 2027, Filipina yang mengetuai kumpulan wajib menang ke atas Maldives dan Tajikistan," kata Nurazhar Mohd Zin.

Skuad The Azkals yang tidak dibarisi pemain bereputasi tinggi, termasuk Arribas. Facebook/Philippine Men's National Football Team

"Arribas itu memang pelik walhal sudah lama beraksi baik. Sekali pun tidak dapat dipanggil lagi," kata Sofwan Muhammad Iqbal.

"Sudah pernah heboh. Peminat dari Filipina kata pemain JDT yang ada keturunan dari Filipina itu tipu untuk main dalam slot Asia Tenggara," kata Imam Razak Ameerul.

Sebelum ini, isu sedemikian pernah dibangkitkan penyokong bola sepak dari negara berkenaan dengan bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Patrick Reichelt juga berpandangan sedemikian.

Ini kerana rata-rata peminat kurang mempercayai bahawa Arribas dan dua lagi pemain JDT, Enzo Lombardo serta Christian Glauder mempunyai pertalian darah sah dengan Filipina.

Namun, setakat ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak melakukan sebarang siasatan berhubung susur galur ketiga-tiga import skuad Harimau Selatan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram