KUALA Lumpur City FC terpaksa 'berputih mata' selepas tewas pada minit-minit akhir dengan keputusan 2-3 aksi bertemu Cong An Ha Noi dalam Kumpulan B saingan Piala Shopee 2024 pada Khamis.
Pada 10 minit awal aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan pintu gawang The City Boys dibolosi menerusi kapten CAHN, Nguyen Quang Hai yang berhasil membuka tirai jaringan pada minit ke-10.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Warga Kota bangkit dengan memberi tekanan ke pintu gawang pasukan pelawat namun tidak berhasil menjaringkan gol.
BACA LAGI: 'Macam ada yang hilang', kelibat Rizal Ghazali-Assifuah tak kelihatan di bumi Kenyalang
BACA LAGI: 'Memang special', Slot puji melambung Salah, silap-silap kekal di Liverpool
Aksi di Stadium Cheras menyaksikan KL City tewas dengan keputusan 2-3 di tangan CAHN.
Anak-anak buah Miroslav Kuljanac akhirnya berhasil merapatkan kedudukan apabila Adrijan Rudovic berhasil menanduk masuk bola ke pintu gawang melepasi penjaga gol CAHN, Nguyen Filip.
Skuad Warga Kota terus bangkit dan mendahului pada babak pertama di Cheras selepas kapten pasukan, Paulo Josue dengan tenang menanduk bola masuk ke gawang pelawat.
Bersambung babak kedua di Cheras menyaksikan pasukan bimbingan Mano Polking mula bangkit dengan kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-67 hasil tandukan Viet Anh menembusi pintu gol KL City.
Nasib malang menimpa The City Boys apabila dua tonggak Utama, Kamal Azizi dan Paulo Josue dibuang padang oleh pengadil perlawanan selepas dikesan mengasari para pemain CAHN.
Kelebihan dua orang pemain dimanfaatkan sebaiknya oleh CAHN untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir menerusi Le Van Do.
Perlawanan di Stadium Cheras berakhir dengan keputusan 3-2 yang memihak CAHN.
Aksi terakhir kumpulan pada 6 Februari ini akan menyaksikan KL City menentang Buriram United di Thailand, manakala CAHN bakal bermain di laman sendiri berdepan Borneo FC Samarinda.
Dengan keputusan yang tidak memihak kepada KL City, pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu dijangka berdepan kesukaran untuk mengikuti jejak Terengganu FC yang dilihat berpeluang cerah ke separuh akhir Piala Shopee selepas menewaskan wakil kelab Indonesia, PSM Makassar FC 1-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu..— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram