AKSI pembukaan Piala MFL pada Isnin menyaksikan beberapa perlawanan menarik disajikan buat peminat bola sepak yang mahu melihat kemampuan skuad simpanan bagi kelab masing-masing.
Salah satu perlawanan terbaik adalah pastinya antara finalis tahun lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) II yang menerima kunjungan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor.
Jaringan hatrik daripada bintang pasukan, Gabriel Nistelrooy memastikan tiga mata pertama diraih untuk membantu skuad Harimau Selatan memulakan kempen dengan langkah kanan dengan keputusan 3-0.
BACA LAGI: Baru panas enjin, nanti Syafiq Ahmad tak pasal-pasal kena balik JDT
BACA LAGI: Azam Azih, duo 'ex' JDT patut dalam senarai Fandi Ahmad lawan Kuching City
Kualiti penyudah Gabriel sudah dapat disaksikan bertahun-tahun dahulu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Pujian sudah tentu diberikan terhadap pemain berusia 24 tahun berkenaan yang semakin matang dalam gaya permainannya meskipun sudah bertahun-tahun bakatnya disedari orang ramai.
Malah, ada yang beranggapan Gabriel sudah cukup sesuai untuk diserap ke dalam skuad utama bagi membantu mengurangkan beban dipikul penyerang utama pasukan, Bergson da Silva.
Peledak yang cukup dikenali dalam arena bola sepak tanah air itu dikatakan masih belum berada dalam tahap kecergasan terbaik selepas mengalami kecederaan musim lalu.
Jadi, dengan kualiti dimiliki Gabriel, terdapat kemungkinan skuad utama JDT boleh menagih khidmatnya, lebih-lebih lagi ketika bertemu pasukan yang kurang berkualiti.
Bergson masih belum kembali ke tahap kecergasan terbaik meskipun sudah diturunkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Boleh ganti Bergson ni. Bergson pun sedang cedera, inilah masanya untuk dia menyerlah," kata Tirmidzi Rahim.
"Terbaik, perlawanan pertama sahaja boleh terus dapatkan hatrik. Boleh dah perlahan-lahan diserap ke dalam skuad senior," kata Mohd Nazreen Muhammad Ismail.
"Satu hari nanti, bukanlah sepenuhnya main, tetapi bolehlah untuk dia jadi penyerang utama dalam pasukan utama JDT," ujar Muhammad Faiz.
Melihat kepada barisan pemain dalam skuad utama Harimau Selatan, terdapat kemungkinan pemain muda dari Sarawak itu perlu menunggu masa untuk diserap.
Kemasukan pemain naturalisasi, Romel Morales sudah tentu akan menyukarkan hasrat Gabriel untuk dibawa masuk dengan ketua jurulatih, Hector Bidoglio tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.
Dalam saingan Piala MFL 2023, Gabriel mencatatkan 13 gol daripada 19 penampilan dengan sumbangan itu membantu JDT II ke perlawanan akhir, namun tewas kepada Terengganu FC II.
Jadi, dengan saingan baru sahaja bermula, skuad kendalian Mariano Echeverria sudah tentu dahagakan kejayaan dengan persiapan serba lengkap sudah dibuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram