'Done deal', mungkin tahun depan Jai bakal pulang ke sarang?


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Kapten pasukan Sabah FC, Park Tae-su (kiri) muncul wira tundukkan Perak FC. — Facebook/Sabahfc

JARINGAN Park Tae-su pada minit ke-85 mencukupi buat Sabah FC untuk mengatasi Perak FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sang Badak berjaya melengkapkan kemenangan kali kelima selepas berjaya memenangi empat perlawanan terakhir sebelum ini.

Dalam pada itu, di sebalik kegembiraan meraih kemenangan tersebut, penyokong setia Sang Badak menerima berita kurang gembira apabila bakal kehilangan khidmat pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali untuk musim depan.

WhatsApp Image 2023-12-04 at 16.30.09

Tangkap layar hantaran tersebut di Instagram. — Instagram/bakhtiarbaddrol

Difahamkan, Rizal Ghazali atau mesra dengan panggilan Jai itu akan kembali ke pangkuan Kedah Darul Aman (KDA) FC musim depan.

Perkara itu dianggap benar selepas legenda KDA FC, Baddrol Bakhtiar yang juga wakil rakyat DUN Gurun memuat naik satu hantaran di laman Instagram peribadinya.

"Done deal," tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berasakan pertemuan kembali kedua-dua bekas pemain KDA FC itu seperti mempunyai maksud tersirat.

"Mungkin BB7 nak tarik Jai ke Kedah semula next season?," kata Jainaljeffri.

"Nahhh ada sudah hint kah ni, tahun depan Rizal balik ke Kedah," kata Murut Sabeh.

"Jangan bersangka baik, tak baik tu nampak kalau berjumpa ni, memang dia nak Jai ke Kedah," kata Sharf Moss.

"Bye Jai, terlepas sudah kita si Jai lepas ni," kata Jep Kc.

Meskipun hantaran tersebut seolah-olah memberi bayangan bahawa Rizal akan kembali ke pangkuan KDA FC, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dibuat oleh kedua-dua pihak berkenaan perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram