Restu YCL kekal kemudi Perak FC hingga akhir musim tapi fans sepakat letak syarat khas


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Perak kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mencatatkan sembilan kekalahan dalam 14 perlawanan. — Facebook/PerakFC

SELEPAS dua perlawanan memimpin Perak FC, ketua jurulatih sementara, Yusri Che Lah akan kekal mengemudi skuad The Bos Gaurus (TBG) sehingga akhir musim Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Yusri yang sebelum ini ditugaskan menguruskan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dipilih untuk menggantikan kedudukan Datuk Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih pasukan senior pada 25 Mei lalu.

Setakat ini, pengendali berusia 47 tahun itu sudah mengemudi Perak FC untuk dua perlawanan dengan menyaksikan kedua-duanya tewas di tangan pasukan lawan, Terengganu FC (0-3) dan Kedah Darul Aman (0-3).

Menurut laman Facebook rasmi skuad Seladang, keputusan berkenaan dimuktamadkan selepas pihak pengurusan membuat pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira semua aspek.

“Perak FC mengumumkan Ketua Jurulatih Sementara, Yusri Che Lah akan terus mengemudi pasukan sehingga akhir musim Liga Malaysia 2023. Keputusan diambil oleh pihak pengurusan setelah pertimbangan yang teliti mengambil kira semua aspek.

“Pihak pengurusan akan terus membuat penilaian setiap perlawanan dan memantau calon ketua jurulatih berpotensi yang berkongsi falsafah sama dengan pihak pengurusan. Yusri Che Lah adalah aset kepada Perak FC dan mash banyak lagi boleh ditawarkan olehnya.

“Pihak pengurusan percaya Yusri berhak mendapat peluang membuktikan kredibiliti sebagai pengendali pasukan. Skuad The Bos Gaurus bertekad untuk terus memperbaiki permainan dan menamatkan musim ini pada kedudukan terbaik,” memetik hantaran berkenaan.

PERAK FC STATEMENT

Kenyataan Perak FC berhubung status Yusri. — Facebook

Keputusan pihak pengurusan itu disambut baik oleh pengikut Perak FC namun penyokong sepakat mencadangkan agar rombakan pemain pula berlaku bagi mengelak skuad Seladang terus jadi pasukan belasahan musim ini.

Rata-rata penyokong berhasrat untuk melihat Perak FC membawa masuk beberapa pemain berkualiti bagi menggantikan pemain yang kurang memberikan impak positif dalam pasukan.

“Bagus jangan bazir duir. Cuma kena tukar sahaja mana pemain yang tidak beri komitmen,” komen penyokong Perak FC, Muhammad Ezan.

“Kenyataan cari dan dapatkan pemain tempatan dan import yang baharu tiada ke?,” tanya seorang peminat skuad Seladang, Zairil Zara.

“Tahniah YCL cuma kena ambil pemain baharu dan buang pemain yang menumpang dalam pasukan,” tambah seorang penyokong, Shahrul Nizahm Noh.

Perak kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mencatatkan sembilan kekalahan dalam 14 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram