Penyokong Selangor, JDT tak taruh harapan tinggi, hanya harap terbaik


  • Podium
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Antara aksi pemain JDT dan Selangor ketika pertembungan pada pertengahan tahun ini. — Bernama

PERTEMBUNGAN Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC dalam pentas akhir Piala Malaysia 2022 pada Sabtu, sudah pasti sesuatu yang mendebarkan buat rakyat Malaysia.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dijangka sengit, apabila kali terakhir JDT memenangi Piala Malaysia adalah pada 2019, manakala Selangor yang juga juara 33 kali itu pula mengungguli pada 2015.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio tidak mahu terlalu memikirkan peluang buat JDT bagi mencipta kejuaraan treble musim ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe dilapor tidak mahu memberi tekanan tinggi kepada pemain muda yang bakal merasai pentas akhir Piala Malaysia buat pertama kali.

316676035_572886301509769_5497051104611717987_n

Pemain Selangor melakukan latihan sebelum bertembung JDT. — Facebook Selangor FC

Turut tidak mahu memberi tekanan kepada kedua-dua pasukan adalah para peminat, yang sebaliknya tampil memberi sokongan.

Zul Yusri yang merupakan penyokong Selangor berkata, dia tidak mahu menaruh harapan tinggi buat The Red Giants dalam perlawanan tersebut.

"Semoga kedua-dua pasukan beraksi dengan baik pada Sabtu," komennya dalam hantaran di laman Facebook.

316098404_2451755104987774_6973099885113904157_n

Aksi pemain JDT ketika melakukan latihan sebelum berdepan Selangor. — Facebook JDT

Berpendapat sama, Lieya Miesuliah berkata, apa-apa sahaja perkara boleh terjadi ketika perlawanan 90 minit yang ditetapkan di atas padang.

Dia yang juga penyokong JDT cuma berharap agar kedua-dua pasukan bermain dengan penuh semangat.

"Kami tak nak kisah lepas berulang lagi kerana peminat terlalu yakin sampai terciduk bila kalah.

"Bagi kami, kalah menang adat pertandingan. Menang kami gembira, kalau kalah kena terima tiada rezeki buat team kami. #fansmerahbiru," katanya.

Dalam aksi final Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) FC muncul juara, selepas menewaskan JDT dengan keputusan 2-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram