Santai, elegan, 4 gaya kasual Che Puan Mahkota Khaleeda tatkala berlibur bersama keluarga


  • Gaya
  • Ahad, 19 Okt 2025

SIRI gambar dikongsikan di media sosial memaparkan gaya kasual CheĀ Puan Mahkota Khaleeda, namun tetap tampak elegan.

ISTERI Pemangku Sultan Johor, Che Puan Mahkota Khaleeda Bustamam sering menjadi sorotan lensa kamera apabila tampil dalam busana formal atau separa formal baik ketika menghadiri majlis rasmi mahupun urusan berkaitan tugas diraja.

Jika membuat carian namanya di laman media sosial, kebanyakan foto baginda memperlihatkan imej anggun menyarungkan persalinan tradisional ataupun gaya elegan ideal dalam apa jua majlis yang dihadiri.

Namun, baru-baru ini Che Puan Mahkota Khaleeda sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi beberapa foto dipercayai sedang menikmati percutian bersama keluarga menerusi hantaran media sosial Instagram.

BACA LAGI: [VIDEO] Tetap kuat walau kena 'body shaming', pelajar perempuan nekad raih 11A+ SPM, impi jadi guru

BACA LAGI: Tak boleh ulas topik sesuka hati, 'influencer' di China wajib ada sijil akademik profesional

Percutian itu dipercayai selepas mereka dijemput sebagai tetamu khas pada awal Oktober lalu untuk menyaksikan perlawanan The Rugby Championship antara pasukan All Blacks, New Zealand dan Wallabies, Australia di Stadium Optus, Australia.

Berbeza daripada kebiasaan, siri gambar itu memaparkan sisi lebih santai dan mesra Che Puan Mahkota Khaleeda, namun tetap bergaya, walaupun ringkas.

Berikut empat gaya kasual baginda yang menjadi perhatian:

1. Flanel merah, jean klasik

Dalam hantaran foto berlatar padang rumput hijau dan cahaya matahari petang, Che Puan Mahkota Khaleeda tampil selesa dengan kemeja flanel kotak rona merah tua dan merah jambu serta seluar jean biru.

Rambutnya diikat gaya low bun diserikan lagi dengan sepasang anting-anting. But hitam pula melengkapkan gaya ringkas yang sesuai untuk aktiviti luar.

2. Gaya cowboy

Berpakaian kemeja denim biru longgar koleksi Ralph Lauren dan seluar jean senada, Che Puan Mahkota Khaleeda membawa tema cowboy dengan gaya moden.

Topi cowboy hitam tertera tulisan MY FIRST RODEO di bahagian dalamnya dan cermin mata gelap menambah karakter pada penampilan baginda, sementara jam tangan dan rantai tangan memberi sentuhan kemas.

Latar kandang kuda dan pagar kayu menjadikan gaya persis filem country girl.

3. Penampilan santai tepi pantai

Dalam suasana pantai tenang, Che Puan Mahkota Khaleeda memilih baju rona krim dipadankan dengan jaket luar dan jean longgar biru muda.

Rambut dibiarkan terurai dan cermin mata hitam digantung pada leher sebagai aksesori tambahan.

Gaya tersebut sesuai untuk aktiviti keluarga di tepi pantai, ringkas, selesa dan sedap mata memandang.

4. Gaya aktif

Di kawasan taman berumput hijau, Che Puan Mahkota Khaleeda memilih sweatshirt hitam dipadankan dengan seluar jean potongan longgar, digayakan bersama skaf Chanel bermotif hijau dan biru menambah sentuhan mewah pada penampilan kasual.

Kasut sukan putih dan beg hitam melengkapkan gaya praktikal sesuai untuk aktiviti luar yang melibatkan pergerakan.

Foto tersebut turut memaparkan Che Puan Mahkota Khaleeda bersama keluarga menikmati masa santai di taman sambil bermain bola dan bola ragbi.

Empat penampilan tersebut membuktikan bahawa Che Puan Mahkota Khaleeda  tidak hanya menyerlah dalam busana rasmi, tetapi juga mampu tampil menarik dalam gaya kasual.

Sederhana, selesa dan tetap eksklusif, itulah definisi elegan versi Che Puan Mahkota Khaleeda.

Untuk rekod, Che Puan Mahkota dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Julai 1993 dan selamat diijab kabul dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, Johor pada 24 Oktober 2014.

Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua putera dan dua puteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram