Hormat sensitiviti ibu kandung anak tiri antara 5 tip kekal bahagia wanita kahwin duda — Pakar


  • Cinta
  • Rabu, 17 Sep 2025

Menurut Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah (gambar kecil) kebahagiaan rumah tangga bersama duda tercapai apabila isteri ikhlas menerima kasih sayang suami dan anak-anaknya tanpa rasa cemburu. — Gambar hiasan/Janaan AI

MEMBINA rumah tangga dengan lelaki bergelar duda bukan sekadar berkahwin dengan seorang suami, tetapi juga menerima anak-anaknya sekali.

Kebahagiaan dalam perkahwinan sedemikian bergantung pada kesediaan isteri untuk memahami situasi serta memainkan peranan penuh kasih sayang.

Berikut lima tip utama dikongsikan oleh Profesor Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip buat wanita yang bakal berkahwin dengan duda agar hubungan kekal harmoni menerusi hantaran di Facebook. 

BACA LAGI: Rumah bernafas dengan bata terracotta, reka bentuk mesra iklim di Vietnam

BACA LAGI: 'Tahun pertama, keluarga, kawan tanya betul ke?' jarak usia 18 tahun Dr. Zahida, suami bukan penghalang, usia perkahwinan lebih sedekad

1. Elak cemburu hubungan rapat suami, anak

Pakar menegaskan, kasih sayang seorang ayah terhadap anak tidak boleh dipertikai.

Isteri digalakkan menghormati ikatan itu dan tidak melihatnya sebagai persaingan, sebaliknya sokonglah supaya anak merasa diterima dalam keluarga baharu.

2. Terima anak seperti menerima suami

Perkahwinan dengan duda adalah ‘pakej’ yang hadir bersama anak.

Mengasihi anak tiri tanpa membezakan layanan menjadi kunci untuk mencipta suasana bahagia dan mengelakkan konflik emosi.

3. Hormati sensitiviti ibu kandung anak tiri

Satu perkara penting yang sering diabaikan ialah kedudukan ibu kandung dalam hidup anak tiri.

Hubungan anak dengan ibunya tetap kekal biarpun bapa sudah berkahwin semula. Isteri perlu elak daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan anak terhadap ibunya.

Hormat terhadap peranan bekas isteri juga mampu mengelakkan ketegangan yang tidak perlu.

4. Jangan ungkit kisah silam suami

Membuka kembali cerita lama tentang perkahwinan terdahulu hanya menambah luka.

Fokus seharusnya diberikan pada membina kehidupan baharu bersama, bukannya mengungkit sejarah lampau.

5. Bina memori indah baharu bersama

Aktiviti keluarga seperti bercuti, makan malam atau sambutan hari istimewa mampu mencipta kenangan manis yang mengeratkan hubungan antara suami, isteri dan anak-anak.

Kenangan ini akan jadi pengikat kebahagiaan jangka panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram