Bapa derma hati selamatkan anak, sanggup jalani pemulihan di rumah demi jimat kos


  • Bonda
  • Ahad, 07 Sep 2025

Keadaan bayinya bertambah serius sehingga pemindahan hati menjadi satu-satunya pilihan. — Gambar hiasan/Freepik AI

SEORANG bapa muda di Beijing, China meraih perhatian ramai apabila sanggup menderma sebahagian hati untuk menyelamatkan nyawa bayi perempuannya.

Bapa tersebut, Shen bukan sahaja melakukan pengorbanan besar itu, malah memilih untuk menjalani sesi pemulihan di rumah dengan menukar sendiri balutan selepas pembedahan bagi menjimatkan kos rawatan.

Shen dan isterinya, Tao berkahwin pada 2024 di Ningbo, Wilayah Zhejiang, tenggara China.

Tidak lama kemudian dikurniakan seorang bayi perempuan bernama Yiyi.

BACA LAGI: Ilmu dipelajari di universiti mungkin berbeza, tapi setiap kemahiran, latihan berharga ketika bekerja — Hannah Yeoh

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas kantoi skandal dengan CEO Astronomer di 'kiss cam' konsert Coldplay, ketua HR tuntut cerai pada suami

Shen menjalani pembedahan pada 13 Ogos lalu untuk menderma sebahagian hatinya kepada Yiyi. — Agensi

Namun, Yiyi mengalami penyakit kuning berpanjangan sejak lahir. Keadaannya semakin serius sehingga pemindahan hati menjadi satu-satunya pilihan.

Selepas ujian keserasian berjaya, Shen menjalani pembedahan pada 13 Ogos lalu untuk menderma sebahagian hatinya kepada Yiyi.

Menurut Tao, beban kewangan keluarga muda itu amat berat dengan kos rawatan melebihi 100,000 yuan (sekitar RM60,000).

Shen yang pada awalnya bekerja, terpaksa berhenti apabila keadaan anak semakin parah, lalu mengambil kerja sambilan demi menyara keluarga.

Untuk mengurangkan kos hospital, Shen keluar awal dari wad dan menjalani rawatan susulan di rumah sewa mereka.

Hanya separuh bulan selepas pembedahan, beliau sudah kembali bekerja di Ningbo demi menampung perbelanjaan keluarga.

Shen turut berkongsi perjalanan mereka di media sosial dengan nama akaun Yiyi Fighting Monsters yang kini mengumpul lebih 6,000 pengikut.

Dalam video, beliau merakam dirinya menukar balutan sendiri dan menyampaikan mesej penuh kasih sayang buat anaknya.

Keadaan Yiyi kini dilaporkan stabil dan dijangka pulih tidak lama lagi.

"Doktor sudah keluarkan dua tiub saliran semalam dan tiub oksigen juga dibuka," kata Tao.

"Hari ini (Ahad) doktor beritahu Yiyi semakin baik dan mungkin boleh keluar hospital minggu depan," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram