
BAGI penggemar fesyen era Y2K, filem The Devil Wears Prada (2006) pastinya tidak asing lagi yang mana ia mengisahkan seorang wartawan muda bernama Andy Sachs yang baru menjejakkan kaki ke dunia media, lalu diterima bekerja di sebuah majalah fesyen berprestij.
Di sana, beliau perlu menyesuaikan diri dengan dunia fesyen yang pantas dan penuh tekanan, termasuk berdepan dengan ketua yang tegas dan berpengaruh, Miranda Priestly.
Kini, selepas hampir dua dekad, sekuel filem itu akhirnya mula menjalani penggambaran dan perhatian ramai mula tertumpu kepada wajah pelakon utamanya, Anne Hathaway yang kelihatan seakan tidak menua langsung.
Dalam hantaran video terbaharu yang dimuat naik Anne pada Rabu, pelakon berusia 43 tahun itu mengimbau kembali detik pengarah filem tersebut, David Frankel memakai cermin mata pada hari penggambaran 20 tahun lalu.
“Ini hari pertama penggambaran The Devil Wears Prada. Saya membawa cermin mata yang dipakai pengarah kami, David Frankel ketika penggambaran pertama 20 tahun lalu,” katanya yang tampil santai menggayakan padanan baju putih tanpa lengan dan vest hitam bersama skirt denim.
Menurut Anne, kesemua kru jatuh cinta dengan gaya cermin mata tersebut ketika itu dan mereka masing-masing turut memilikinya.
“Kami semua mendapatkannya dan sekarang selepas 20 tahun, kami semua masih simpan,” ujarnya sambil memegang cermin mata tersebut yang dianggap sebagai 'tuah'.
Meskipun bergurau bahawa dia tidak lagi boleh memakainya kerana preskripsi matanya sudah berubah, namun peminatnya lebih tertarik dengan penampilannya yang tidak berubah.
“Bagaimana beliau boleh 20 tahun lebih tua? Langsung tak nampak berubah,” tulis @charlie_smithfield.
“Andy (watak lakonan Anne) kembali! Tak sabar nak tonton filem ni,” komen @fariaspaulo.
“Rupanya pelakon terkenal pun lap cermin mata dengan baju macam saya,” seloroh @trirahayu88s.
“Beliau memang ikon, seorang legenda dan ini sememangnya detik peling penting,” tulis @itsthevarose.
Dua penampilan Anne ketika penggambaran filem The Devil Wears Prada 2. — Agensi
Selain itu, penampilan Anne juga mencuri perhatian apabila tampil dengan gaya berbeza sepanjang penggambaran.
Dalam satu penampilan, beliau tampil maskulin mengenakan sut berjalur rona gelap tanpa lengan, dipadankan dengan seluar longgar dan but hitam berpotongan runcing.
Sementara itu dalam satu lagi momen lebih santai, Anne bergaya dengan dress labuh berpetak warna-warni, lengkap dengan topi bucket putih dan rantai Mutiara.
The Devil Wears Prada 2 dijadualkan ditayangkan pada Mei 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram