
SEORANG wanita meraih perhatian warga maya apabila berkongsi pengalaman luar biasa ketika menjalani pembedahan caesarean atau czer dua tahun lalu yang dianggap antara detik paling emosional.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik pengguna akaun @zulaikha.sb di Threads, beliau menceritakan bahawa dirinya berada di alam lain sejurus diberi bius untuk pembedahan kecemasan.
Kongsinya, beliau keseorangan berada di sebuah ruang putih yang sangat luas, sunyi dan tenang.
“Tiba-tiba terdengar suara lelaki garau bertanya, ‘kau penat kan jadi isteri dan ibu selama ni? Nak rehat kan? Aku bagi rehat, tapi kau kena pilih sama ada nak rehat selamanya atau nak kembali pada keluarga?’" tulisnya.
Wanita itu juga menggambarkan bagaimana satu skrin besar muncul seakan menonton wayang, memperlihatkan kenangan hidupnya bersama suami dan dua anak lelaki dari momen gembira di pantai, gelak ketawa dalam rumah sehinggalah detik sukar bergelar ibu.
Beliau mendedahkan, sebahagian dirinya mahu memilih untuk berehat berikutan kesihatannya ketika dalam fasa kandungan tersebut sering diuji.
"Memang nak rehat selamanya sebab penat hidup. Sewaktu saya hamil, macam-macam penyakit datang.
"Duduk wad sebulan, disahkan mengalami fibrosis paru-paru dan juga berlaku pendarahan. Hospital bagaikan rumah kedua saya," ujarnya yang juga merupakan seorang peguam.
Kongsinya lagi, beliau menangis teresak-esak dalam mimpi tersebut kerana tidak boleh membuat keputusan dan muncul kembali suara yang mendesaknya untuk membuat pilihan.
Namun, beliau memilih untuk kembali bersama keluarga kerana skrin besar tersebut hanya memaparkan detik bahagianya bersama insan tersayang.
“Saya pilih untuk hidup dan naik ‘kereta api’ ke arah pintu yang hampir tertutup. Sebaik melepasi pintu itu, saya dengar suara bayi dan doktor memanggil serta menampar pipi saya supaya sedar,” kongsinya lagi.
Anak yang dilahirkannya ketika itu adalah seorang bayi perempuan yang mana satu-satunya puteri yang dinanti selama 10 tahun perkahwinan.
“Saya insaf sebab hidup ni banyak sangat mengeluh penat. Saya berasa sangat teruk," katanya sambil mendoakan golongan ibu diberikan kekuatan mental dan fizikal untuk mengurus keluarga termasuk diri sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram