[VIDEO] Lelaki tak berbaju sambil pegang pisau di Semenyih rupanya pesakit mental, ada 26 rekod jenayah


  • Kes
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Tangkap layar penduduk sebuah kawasan perumahan di Semenyih gempar selepas seorang lelaki memanjat bumbung rumah sambil memegang sebilah pisau pada Khamis.

PENDUDUK sebuah kawasan perumahan di Semenyih, Kajang, Selangor dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki memanjat bumbung rumah sambil memegang sebilah pisau dalam insiden cemas pada Khamis. 

Kejadian kira-kira pukul 8.50 malam berkenaan mencetuskan suasana tegang hampir empat jam sebelum lelaki berusia 48 tahun tersebut berjaya ditahan polis dengan bantuan pasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketika ditemui suspek hanya memakai seluar pendek tanpa baju sambil memegang pisau di atas bumbung.

BACA LAGI: [VIDEO] Keterangan meragukan, polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas di Sungai Linggi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Affan cucu baik', kerajaan Indonesia sedia tanggung keluarga penunggang 'ojek' digilis polis dalam rusuhan

"Polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat segera ke lokasi untuk melakukan usaha memujuk suspek. 

"Selepas hampir empat jam, suspek akhirnya berjaya ditahan bersama sebilah pisau," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Naazron berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah dirujuk ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Suspek juga dipercayai bukan berasal dari kawasan Semenyih dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi di talian 011-36307974 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Rakaman video berdurasi lebih seminit yang tular di media sosial itu memaparkan kelibat seorang lelaki tanpa berbaju, hanya berseluar pendek, berlegar-legar di atas bumbung rumah penduduk sehingga menimbulkan panik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram