
POLIS Selangor berjaya menahan dua beradik bersama air ketum selepas dikejar sejauh 90 kilometer sekitar Shah Alam, Selangor pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.30 pagi Selasa terjadi semasa anggotanya melakukan rondaan di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam.
Pihak polis melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dan apabila disuruh berhenti, suspek kemudiannya memecut laju dan melarikan diri.
BACA LAGI: Kanada jatuhkan 10 tan bantuan kemanusiaan dari udara Gaza bersama 5 negara
BACA LAGI: Takut kena denda royalti, kafe di Indonesia mula ganti main lagu-lagu Barat
"Anggota polis yang bertugas membuat rondaan MPV di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam telah nampak sebuah kereta jenis Proton Wira bewarna biru dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota MPV telah membunyikan siren serta menggunakan pembesar suara mengarahkan pemandu kereta tersebut untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan namun pemandu kereta bertindak memecut laju secara melulu bagi melarikan diri.
"Tindakan tersebut menyebabkan berlaku kejadian kejar sejauh lebih kurang 90 kilometer di sekitar Shah Alam dan sebanyak enam buah kereta MPV lain diarahkan membantu bagi menahan pemandu kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Suspek berusia 18 dan 24 tahun itu ditahan di Seksyen 9, Shah Alam dengan pihak polis menemui sebotol cecair berwarna hijau dipercayai air ketum.
Siasatan turut mendapati suspek berusia 24 tahun mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Mohd Iqbal turut berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pukul 10 pagi Selasa untuk membolehkan mereka direman.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dengan suspek boleh didenda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram