
PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah menggantung lesen kejurulatihan Nur Effandy Rosli berkuat kuasa serta-merta selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih wanita.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Jawatankuasa Disiplin badan induk sukan itu mengambil langkah awal sebagai mitigasi risiko sementara menunggu proses perbicaraan selesai.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja maut perut terburai gara-gara serbuk mercun meletup lepas motor rempuh basikal
"PKBM memandang serius perkara itu dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa semua individu yang terlibat dalam sukan berbasikal berhak untuk berada di dalam satu persekitaran yang selamat dan bebas daripada apa-apa gangguan, termasuklah gangguan seksual.
"Saya ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahawa PKBM tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan perundangan negara, Kod Sukan Selamat dan Kod Etika UCI, lebih-lebih lagi yang melibatkan atlet atau pelatih bawah umur," katanya dalam kenyataan PKBM pada Khamis.
PKBM mengesahkan bahawa Nur Effandy bukan merupakan jurulatih pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan negeri ketika kesalahan yang didakwa berlaku. Sebaliknya, dia hanya berperanan sebagai jurulatih kepada kelab berbasikal miliknya sendiri pada ketika itu.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill.
Nur Effandy, 58, yang pernah meraih pingat perak dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan Komanwel 1998, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih wanita berusia 15 tahun.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Menurut pertuduhan, perbuatan itu didakwa berlaku sekitar pukul 6 petang pada Jun 2024 di dalam sebuah setor penyimpanan basikal berhampiran medan selera di Taman Desa Keramat, Kuala Lumpur.
Kes kini dalam proses perbicaraan dan pihak PKBM memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes sambil menegaskan komitmen mereka terhadap integriti dan keselamatan dalam sukan berbasikal tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram