
SUSULAN dakwaan salah laku ketika menjalankan serbuan dalam Ops Tapis di Damansara, tiga anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah dipindahkan ke jabatan lain secara serta-merta.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggota terbabit bagi menilai kesalahan yang dilakukan.
“Siasatan dalaman sedang dijalankan dan ketiga-tiga anggota ini tidak lagi berkhidmat di BSJN IPD Petaling Jaya,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat dakwaan anggota serbu kediaman tak ikut SOP, ugut bayar RM12,000
Kes itu mula mendapat perhatian selepas satu video tular di Facebook menunjukkan serbuan yang dilakukan oleh empat anggota BSJN IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara pada 10 Oktober 2024.
Video yang dimuat naik oleh pemilik akaun En Abdul itu mendakwa bahawa anggota polis berkenaan bukan sahaja tidak mengikut SOP dalam serbuan tersebut, tetapi juga melakukan pemerasan.
Selain itu, pemilik akaun itu turut mendakwa anggota terbabit bertindak ganas dengan memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya.
Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa siasatan akan diteruskan bagi memastikan tindakan tegas diambil sekiranya terdapat pelanggaran prosedur atau salah laku dalam peristiwa itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram