[VIDEO] ‘Janganlah nangis’, 2 nelayan hanyut berhampiran perairan Pulau Undan diselamatkan ‘rakan sejawatan’ Indonesia


  • 112
  • Rabu, 22 Jan 2025

Dua nelayan yang hanyut di perairan Pulau Undan pada 15 Januari lepas ditemukan selamat dan kini berada di Dumai, Indonesia.

SELEPAS seminggu, duanelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan pada 15 Januari lepas ditemukan selamat dan kini berada di Dumai, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Azi berkata, mangsa, Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 55, berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan di perairan Indonesia.

"Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemukan selamat tanpa kecederaan serius selepas bot dinaiki mereka hanyut akibat cuaca buruk dan kegagalan enjin.

"Mereka kini berada di Dumai dan kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana untuk mengatur kepulangan mereka ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: MRCC mohon bantuan BASARNAS, kesan 2 nelayan dipercayai hanyut ke perairan negara jiran

BACA LAGI: Sorok dari keluarga, pasangan kekasih dicekup sumbat mayat bayi baru lahir dalam beg di Port Dickson

Mohd Khairi pada masa sama menasihatkan nelayan dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu serta memastikan bot berada dalam keadaan baik serta dilengkapi peralatan keselamatan sebelum bertolak ke laut.

Katanya, sebarang maklumat berhubung kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Gerakan Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menerusi Facebook berkata, usaha sedang dijalankan bagi memudahkan kedua-dua nelayan itu pulang ke pangkuan keluarga.

"Alhamdulillah, atas doa dan usaha semua, kedua-dua nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka yang hilang dalam keadaan selamat.

"Saya ada membuat panggilan video dengan Muarep dan Rosenizam. Urusan kepulangan mereka diuruskan oleh pihak imigresen di sana. Keluarga mereka akan menjemput mereka di Dumai," katanya.

Menerusi video dimuat naik beliau, ibu kepada Rosenizam dilihat tidak dapat menahan sebak ketika melihat wajah anaknya.

"Janganlah menangis," ujar nelayan terbabit apabila melihat keadaan pilu ibunya yang berkerusi roda itu.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan, Melaka diperluas kepada kawasan seluas 1,372 kilometer persegi.

Pencarian yang memasuki hari ketiga itu juga melibatkan penggunaan enam aset laut serta satu aset udara dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram