TINDAKAN seorang individu membahayakan diri dengan berjalan di tepi genting sebuah bangunan tinggi membawa padah apabila dia dipercayai tergelincir sebelum dirakam terjatuh ke bawah dari puncak menara tersebut.
Klip mengenai kejadian tersebut kembali tular selepas ia dimuat naik oleh akaun X, Accidentefatale sejak Sabtu lalu.
Menerusi klip tersebut, seorang lelaki dilihat berjalan di tepi genting sebuah bangunan sambil diperhatikan sekurang-kurangnya empat individu lain yang turut berada di puncak bangunan terbabit.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
— ACCIDENTES FATALES (@Accidentefatale) December 21, 2024
Bagaimanapun, tidak sampai beberapa langkah, salah satu kaki individu terbabit dilihat tergelincir sehingga menyebabkannya badannya terhempas di atas genting berkenaan sebelum terjatuh ke bawah dari ketinggian yang cukup menakutkan.
Status keadaan lelaki berkenaan akibat kejadian itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Waktu dan lokasi insiden berkenaan turut tidak dapat disahkan.
Pada masa sama, motif lelaki berkenaan berjalan di atas genting bangunan tinggi berkenaan juga tidak diketahui.
Bagaimanapun, menerusi carian di internet, klip terbabit dipercayai merupakan video lama dengan ia didapati pertama kali dimuat naik sekurang-kurangnya sejak sekitar 2017.
Tangkap layar video memaparkan individu berkenaan (bulatan merah) terjatuh ke bawah dari genting bangunan tinggi.
Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat warganet mendakwa bahawa insiden tersebut adalah satu tindakan 'prank' daripada individu tersebut yang dikatakan merupakan peserta aktiviti sukan ekstrem iaitu terjunan rendah atau 'base jump' dari bangunan tinggi.
Malah, ada antara mereka percaya bahawa individu terbabit turut menggalas beg dipercayai payung terjun yang digunakan untuk mendarat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram