[VIDEO] Disyaki angkara khianat, rakaman jiran bongkar aksi suspek 'wanted' bakar 3 kenderaan pagi-pagi buta


  • 112
  • Isnin, 16 Dis 2024

Tiga kenderaan termasuk sebuah lori terbakar akibat perbuatan khianat dalam kejadian di Kuala Gula, Kuala Kurau, Perak pada Sabtu lepas.

POLIS cuba mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu membakar tiga kenderaan milik seorang lelaki dalam kejadian di parkir ladang gula, Kuala Gula, Kuala Kurau, Perak pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.12 pagi daripada mangsa berusia 36 tahun.

"Siasatan mendapati sebuah lori, pikap jenis Isuzu dan motosikal yang diparkir berhampiran rumah mangsa telah terbakar.

"Kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh sukarelawan bomba. Siasatan lanjut polis mendapati terdapat unsur-unsur khianat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan

BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya

Juna berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai rakaman video mengenai suspek yang bertindak membakar kenderaan-kenderaan terbabit sekitar pukul 3.39 pagi Sabtu.

"Mangsa berniaga makanan laut. Kes di Kuala Gula, Perak," katanya dalam kapsyen media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram