SEORANG penyewa akhirnya mendapat bayaran balik deposit setelah menunggu hampir tujuh bulan.
Eksekutif pentadbiran, Debbee Singa memfailkan kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Johor terhadap sebuah syarikat pemasaran dan pengurusan hartanah.
"Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana syarikat itu menangguhkan pengembalian deposit," kata plaintif di luar Tribunal di Menara Ansar, Johor Bahru.
Debbee, yang berasal dari Miri, Sarawak dan rakannya Ruffinna Jok telah menyewa sebuah apartmen berhampiran Jalan Bukit Meldrum di Johor Bahru.
BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM
Kedua-duanya yang bekerja di Singapura memilih unit berkenaan kerana ia berdekatan dengan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar.
Sewa bulanan bagi unit dua bilik tidur dan satu bilik mandi itu adalah RM2,000,
Jumlah keseluruhan yang dibayar kepada syarikat pengurusan adalah sebanyak RM7,360 yang mana RM2,000 untuk deposit sebulan, sewa sebulan RM2,000, deposit utiliti RM2,000 dan RM1,360 untuk perjanjian sewa serta yuran pelbagai.
“Kami berpindah masuk pada 25 Mei tahun lepas dan perjanjian sewa kami adalah sehingga Mei 2024," ujarnya.
Debbee memaklumkan syarikat tersebut pada April tentang hasrat mereka untuk mengosongkan unit itu pada bulan Mei.
Menurutnya, dia turut mengatur ejen untuk memeriksa unit mereka tetapi ejen enggan berbuat demikian.
Seminggu selepas berpindah keluar, seorang ejen lain menghubungi Debbee dan berkata, pemilik hanya akan mengembalikan deposit berjumlah RM3,074.80 selepas pemeriksaan dilakukan.
“Saya tidak bersetuju kerana jumlah itu lebih rendah daripada yang sepatutnya selepas menolak baki bil utiliti, kos pembersihan dan yuran pelbagai.
“Jun berlalu dan wang itu masih tidak dikreditkan ke dalam akaun bank saya.
"Saya memutuskan untuk memfailkan kes dengan Tribunal pada bulan September," katanya.
Presiden Tribunal, Lee Chee Thim mengarahkan responden supaya mengembalikan deposit sebanyak RM3,475 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh dua minggu.
Plaintif menerima wang itu dengan segera selepas ejen mengkreditkan jumlah itu ke dalam akaun banknya.
Mereka yang memerlukan bantuan berhubung perkara tribunal boleh menghubungi 07-227 1755 atau 07-227 1766. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram