LANGKAWI Feri Line Venture Sdn Bhd mengumumkan pembatalan kenaikan harga tambang bagi warga Malaysia yang akan berkuat kuasa Januari depan.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya membatalkan kenaikan harga tambang itu atas nasihat daripada semua pihak yang berwajib.
"Atas nasihat Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Kedah, maka kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 dibatalkan.
BACA LAGI : [VIDEO] Hilang lebih seminggu lepas jumpa lelaki baru dikenali, wanita ditemukan meninggal dunia di Sarawak
BACA LAGI : Jaga lisan, mendoakan suami saya lumpuh adalah melampau — Eyra Hazali
"Bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuat kuasa tahun depan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Langkawi Ferry Line Ventures membatalkan kenaikan harga tambang itu atas nasihat daripada semua pihak yang berwajib.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak layak menerima subsidi diesel sekiranya menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
Loke menerusi hantaran di Facebook pada Ahad memaklumkan Kementerian Pengangkutan telah mendapat kelulusan prinsip daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat lepas untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari tahun depan.
"Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.
"Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta-merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat," menurut hantaran itu.
Loke membuat hantaran itu selepas Langkawi Ferry Line Ventures mengeluarkan kenyataan harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram