
REMAJA perempuan yang dilaporkan hilang dari Maran, Pahang sejak Sabtu lalu sudah ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah rumah rakannya sekitar Seremban, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wang Kim Wai berkata, Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis yang berusia 15 tahun bertindak mengikut kenalannya selepas difahamkan tercetus perselisihan faham dengan keluarga.
Berdasarkan laporan, remaja itu keluar dari rumah di Kampung Paya Chedong, Maran mengikut rakannya ke Kuala Lumpur dan tinggal selama beberapa hari sebelum ke Seremban.
BACA LAGI: Remaja perempuan 16 tahun hilang selepas tidak pulang dari sekolah di Subang Jaya
"Selepas maklumat dijalankan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Maran berjaya mengesannya sebelum membawa pulang remaja ini dan tiba di Maran pada pukul 3.30 pagi Khamis.
“Menurut kenyataan keluarga, remaja ini pernah cuba keluar dari rumah sebanyak dua kali tetapi gagal. Ini adalah percubaan ketiga dan hilang selama lima hari sebelum polis berjaya mengesannya.
“Dia selamat dan sudah pulang ke pangkuan keluarganya. Kita percaya dia melarikan diri selepas terpengaruh dengan rakan,” katanya kepada media.
Kim Wai ditemui pada majlis perasmian Gimnasium Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang disempurnakan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman di Kompleks PDRM Alor Akar, Kuantan, Pahang pada Jumaat.
Sementara itu, Wong berkata, polis akan menyoal siasat rakan Ummul Ayuni untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram