SEMUA kerja di tapak pembinaan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1), yang terletak di Taman Mas di Puchong, Selangor dihentikan bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.
Gamuda Berhad dalam satu kenyataan berkata, semua pihak di tapak pembinaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar untuk menyiasat punca kejadian dan menentukan tindakan sewajarnya.
"Keutamaan kami ialah keselamatan pekerja kami, orang awam, dan alam sekitar. Kami bersyukur untuk melaporkan bahawa tiada kecederaan yang dialami oleh pekerja binaan kami atau orang awam," ujar kenyataan itu.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Syarikat itu berkata, pada pukul 2 petang Sabtu, terdapat runtuhan tambak kolam mengakibatkan air kolam memasuki kawasan hadapan kerja pembinaan.
"Semua air yang melimpah mengalir masuk ke dalam tapak pembinaan," katanya.
Terdahulu, tular video orang awam memaparkan kejadian runtuhan tebing sungai di Taman Mas yang menenggelamkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air sedalam 19 meter.
Apa bijak sangat korek buat loji sebelah sungai! Tak pasal2 tebing sungai runtuh, bahaya sungguh.
Kejadian berlaku di Taman Mas, Puchong pic.twitter.com/WBQXIeuUUG
— Syaril Said (@syarilsaid) September 7, 2024
Klip yang tersebar dipercayai diambil oleh penduduk dari bangunan perumahan berdekatan itu merakamkan detik-detik keruntuhan tebing berkenaan yang menyebabkan berlakunya aliran deras air masuk ke tapak tersebut.
Pada masa sama, sekumpulan pekerja di kawasan berkenaan yang berada tidak jauh dari lokasi turut dilihat sedang bergerak keluar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada pukul 4.14 petang Sabtu.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Katanya, pihak bomba juga membuat pemantauan dan mengarahkan pihak pengurusan pembinaan bagi memberhentikan kerja pembinaan.
"Pihak pengurusan turut diminta memaklumkan kejadian kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan kawasan runtuhan itu selamat bagi kerja pembinaan diteruskan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram