51 pelajar KPM Ayer Molek keracunan makan, 7 kafe diarah tutup sementara


  • Primer
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Pihak felo membawa pelajar yang mengadu mengalami sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam ke Hospital Jasin. — Gambar hiasan

SERAMAI 51 penuntut Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Tiang Dua, Melaka mengalami keracunan makanan sejak Khamis lalu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas menikmati hidangan di tujuh buah kafe di institusi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, kesemua kafe tersebut diarahkan tutup serta-merta selama dua minggu bermula pukul 6.30 petang, pada Jumaat.

BACA LAGI: Kes 2 pelajar maut keracunan, KKM sahkan sarapan disediakan pengendali makanan luar

BACA LAGI: Remaja dan budak perempuan maut keracunan makanan, dipercayai dibeli dekat sekolah di Gombak

KPM

Notis penutupan kafe KPM Ayer Molek ekoran kejadian keracunan makanan melibatkan seramai 51 penuntut institusi itu.

Menurutnya, pelajar yang terlibat mengadu mengalami gejala keracunan makanan sejak Khamis dan berterusan sehingga keesokan harinya, menyebabkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) hadir bagi membuat pemeriksaan ke atas pelajar.

“Pada Khamis beberapa pelajar mengadu mengalami sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam dan pihak felo membawa pelajar ke Hospital Jasin.

“Keadaan ini berterusan sehingga semalam dengan beberapa kali penghantaran pelajar dilakukan ke Klinik Kesihatan Ayer Molek dan sehingga pukul 6.30 petang, bilangan pelajar terlibat adalah seramai 51 orang iaitu 36 perempuan dan 15 lelaki,” katanya memetik laporan Kosmo, pada Sabtu.

Difahamkan antara menu yang dijual di kafe berkenaan adalah nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan Barat.

Mengulas lanjut, Rahmad memberitahu, hanya seorang daripada pelajar dimasukkan ke wad setelah dibawa bapanya ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut, sementara yang lain dibenarkan pulang semula ke asrama.

“Tiada punca spesifik yang dapat dikenal pasti dan semua pelajar terlibat mengatakan mereka makan pelbagai menu daripada kesemua kafe beroperasi.

“Oleh itu, pihak KKM terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi kesemua kafe bagi tujuan pembersihan atau sanitasi bagi memutuskan rantaian keracunan,” katanya.

Jelasnya, pihak kolej akan membawa vendor luar untuk keperluan makan dan minum pelajar yang dianggarkan seramai 390 orang berada di asrama serta bagi melancarkan pelaksanaan program Advance Creative Entrepreneurship Challenge (ACE) yang berlangsung sehingga Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram