Tarif elektrik baharu: Tiada alasan peniaga makanan naik harga, lapor KPDN jika berlaku — Fomca


  • Massa
  • Ahad, 30 Jun 2024

Saravanan meminta pengguna supaya melaporkan sebarang insiden kenaikan harga barangan dan makanan kepada KPDN sekiranya terdapat peniaga melakukannya dengan alasan peningkatan bil elektrik. — Gambar hiasan

SEKTOR perniagaan di dalam negara termasuk peniaga makanan tidak boleh menggunakan alasan peningkatan tarif elektrik untuk menaikkan harga jualan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah.

Ia selepas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada Sabtu mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan penurunan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak satu sen/kWj di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini kepada pengguna komersial dan industri.

Saravanan berkata, langkah menurunkan surcaj itu dilihat bertujuan bagi menangani kemungkinan peningkatan harga barangan susulan penyasaran subsidi diesel yang dijalankan bermula pada 10 Jun lalu.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

"Saya lihat dengan tindakan ini, kerajaan tidak mahu memberi peluang kepada peniaga untuk menaikkan harga barangan, makanan dan perkhidmatan mereka.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir langkah ini akan menyebabkan penurunan harga kerana penurunan surcaj yang dikenakan itu tidak begitu signifikan.

"Tapi, dengan pelaksanaan (penurunan surcaj) ini, saya melihat peniaga tiada alasan untuk naikkan harga kerana bil elektrik mereka tinggi. Itu adalah alasan yang tidak boleh diterima," katanya kepada Majoriti.

2775018

Tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh Julai hingga ke Disember 2024 bagi pengguna di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Saravanan meminta pengguna supaya melaporkan sebarang insiden kenaikan harga barangan dan makanan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya terdapat peniaga melakukannya dengan alasan peningkatan bil elektrik.

Ujarnya, tindakan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

PETRA menerusi kenyataan sama pada Sabtu turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

PETRA berkata, kadar surcaj juga turun sebanyak satu sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, taman perumahan dan kawasan rekreasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram