KEMENTERIAN Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru sedang memantau rapat perkembangan susulan bencana gempa bumi dengan magnitud 7.2 yang melanda Republik Peru pada awal Jumaat, pukul 12.36 pagi waktu tempatan.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Lima memaklumkan sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pada masa sama, Wisma Putra menerusi kenyataan tersebut turut menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas untuk berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan
"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima," menurut kenyataan itu.
Reuters melaporkan gempa bumi melanda kawasan berhampiran pantai wilayah Arequipa selatan Peru pada Jumaat.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan memaklumkan tiada kematian dilaporkan.
Susulan gempa itu, Arequipa turut dilanda empat gegaran susulan berukuran 4 hingga 4.6 magnitud, menyebabkan beberapa tanah runtuh di jalan tempatan.
Kerajaan Peru memaklumkan mereka sedang memantau untuk menilai kerosakan dan 'menentukan tindakan yang perlu diambil'.
Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan ancaman tsunami daripada gempa itu dan menambah ombak antara 1 dan 3 meter (9.84 kaki) di atas paras air pasang telah direkodkan di sepanjang beberapa bahagian pantai Peru.
Perdana Menteri Peru, Gustavo Adrianzen bagaimanapun berkata, amaran tsunami di pantai Arequipa telah dibatalkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram