Kerajaan Perpaduan pilih bekas guru jadi calon PRK Sungai Bakap


  • Politik
  • Rabu, 12 Jun 2024

Tangkap layar video memaparkan Joohari (kanan) menandatangani aku janji sebagai calon bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap.

BEKAS guru, Dr Joohari Ariffin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai depan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihanraya Kerajaan Perpaduan, Rafizi Ramli ketika majlis Malam Pengumuman Calon PRK Sungai Bakap yang disiarkan secara langsung pada Rabu.

Dalam acara tersebut, Joohari turut menandatangani akujanji untuk membuat pengisytiharan harta sebelum bertanding pada PRK kali ini.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

Difahamkan, Joohari merupakan tokoh yang sangat disegani bukan sahaja di Sungai Bakap tetapi juga di Nibong Tebal.

Joohari dilaporkan turut pernah bekerjasama rapat dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, mengenai tanggungjawab parti dan Parlimennya.

Pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia, Joohari juga merupakan pengarah terkini Institut Aminuddin Baki (cawangan utara), yang dikenali sebagai pusat latihan kepimpinan dan pengurusan dalam pendidikan.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram