Tak sangka Puspakom antara kemudahan boleh perbaharui cukai jalan, lesen kenderaan


  • Massa
  • Selasa, 07 Mei 2024

Orang ramai boleh menggunakan pelbagai platform yang disediakan JPJ untuk urusan pembaharuan lesen kenderaan atau cukai jalan. — Gambar hiasan

PERKHIDMATAN memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian merupakan pilihan utama buat semua lebih-lebih lagi individu yang kesuntukan masa.

Malangnya, ada pula pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan perkhidmatan itu tanpa kelulusan sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Ia berikutan makluman JPJ sebelum ini berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan LKM dan cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan oleh BJAK Sdn. Bhd.

BACA LAGI: 'Cukup sekadar ajar asas elemen STEM bersesuaian umur 4 tahun'

BACA LAGI: Jangan mudah percaya, iklan pembaharuan lesen, cukai BJAK tiada kelulusan JPJ

msg1050426791-31599

Portal BJAK yang tidak mendapat kelulusan JPJ. — Gambar hiasan/BJAK

JPJ juga menegaskan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan kandungan iklan BJAK itu kerana pihaknya mahupun Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak pernah memberikan kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga tersebut.

BJAK bagaimanapun menjelaskan, perkhidmatan utama mereka adalah masih perbandingan dan pembaharuan insurans kereta.

Platform itu berkata, pihaknya sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian yang bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak dan juga pengguna.

Di sebalik isu itu, adalah lebih baik para pengguna buat masa ini menggunakan portal awam dan platform rakan niaga JPJ sahaja seperti yang disarankan oleh agensi berkenaan.

1. Aplikasi MyJPJ

msg1050426791-31598

Cara-cara melakukan pembaharuan melalui MyJPJ. — JPJ

Bermula Februari lalu, orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) menerusi aplikasi MyJPJ.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ.

Istimewanya, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan boleh menikmati rebat RM5 sepanjang tahun 2024 mulai 1 Februari hingga 31 Disember ini.

Bukan itu sahaja, pemandu diberi kemudahan untuk tidak perlu membawa lesen secara fizikal malah kerana ia akan dipamerkan melalui aplikasi tersebut.

2. Pos Malaysia

msg1050426791-31600

Selain urusan surat-menyurat, Pos Malaysia juga menawarkan perkhidmatan memperbaharui lesen dan cukai. — Gambar hiasan/The Star

Perkhidmatan memperbaharui lesen atau cukai jalan di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara sudah diperkenalkan sejak 2021.

Selain kaunter JPJ, pelanggan juga bolehboleh memperbaharui insurans motor mereka di kaunter pejabat pos atau dalam talian melalui laman web Pos Malaysia dan aplikasi Pos Malaysia.

3. MyEG

msg1050426791-31597

MyEG juga antara rakan niaga JPJ. — MyEG

Para pemilik kenderaan juga boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu menerusi saluran dalam kumpulan MY EG Services (MyEG), termasuk fleksibiliti tambahan melepaskan penerimaan salinan fizikal dokumen mereka.

Bursa Malaysia pada 2023 mengumumkan MyEG komited berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan menyediakan platform dalam talian yang selamat dan selesa.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang MyEG www.myeg.com.my atau menghubungi talian (03)7801 8888 serta akaun media sosialnya bagi mendapatkan perkembangan terkini.

4. Puspakom

msg1050426791-31602

Puspakom juga menyediakan perkhidmatan sama. — Puspakom

Inisiatif lain yang mungkin tidak ramai tahu menyediakan perkhidmatan sama adalah menerusi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Puspakom merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang pertama dan satu-satunya yang dilantik oleh kerajaan Malaysia untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kedua-dua kenderaan komersial dan persendirian.

Peranan utama Puspakom adalah untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan untuk membantu pemilik kenderaan dalam memastikan kenderaan berada di dalam keadaan yang selamat untuk dipandu di atas jalan raya serta memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan-peraturan dalam memelihara alam sekitar melalui ujian pelepasan asap.

Namun, syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan itu yang sudah diperkenalkan sejak 2021 sebagai usaha pihaknya meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Puspakom juga hanya menerima urusan pembaharuan LKM membabitkan kenderaan barangan dengan berat 7,500 kilogram ke bawah sejak 2020 lagi.

Urusan itu turut boleh dilakukan secara dalam talian dengan melayari laman web Puspakom. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram