SEORANG murid sekolah berdepan detik menakutkan selepas dikejar oleh sekumpulan anjing liar dalam satu kejadian berdekatan sebuah flat dekat Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7.18 pagi itu dirakam oleh seorang penghuni tingkat atas di bangunan perumahan tersebut.
Berdasarkan klip, budak lelaki berkenaan pada awalnya baru sahaja keluar daripada kawasan perumahan flat tersebut dan berjalan kaki menyeberang untuk menuju ke pintu masuk sekolah.
Bagaimanapun, sekumpulan anjing kemudiannya dilihat mengekori untuk menyerangnya.
Menyedari situasi yang berlaku, dia kemudiannya segera berlari dan menjerit meminta pertolongan.
BACA LAGI: Anjing liar punya pasal, budak nyaris terperosok bawah kereta Wira
Jeritan tersebut turut dapat didengar dengan jelas dalam video rakaman berkenaan.
"Dengar suara budak sekolah menjerti pun dah rasa takut," ujar tulisan pada video tular berhubung insiden terbabit.
BACA LAGI: [VIDEO] Boleh sampai bercerai jika ambil risiko suami isteri jadi bisnes ‘partner’
Murid tersebut kemudiannya berlari kembali memasuki kawasan perumahan flat tersebut sebelum dia mendapatkan pertolongan daripada beberapa penunggang motosikal berdekatan.
Susulan daripada itu, kumpulan anjing terbabit dilihat berhenti daripada mengejar murid berkenaan.
Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata daripada warganet melahirkan kebimbangan berhubungan insiden yang berlaku.
Malah, ada antara mereka turut menceritakan detik serupa pernah dialami akibat hampir diserang oleh anjing liar.
"Harap PBT (pihak berkuasa tempatan) ambil tindakan segera menangkap anjing tak bertuan ni. Kesian trauma budak-budak," tulis ariel1560.
"Pernah kena, jadi tahu macam mana perasaan budak tu. Yang datang empat hingga lima ekor anjing besar nak serang. Mujur ada motor lalu nak berhenti baru anjing tu lari. Masa tu memang dah jatuh terduduk atas jalan," tulis shanaizus.
Terdahulu, Majoriti melaporkan satu video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki nyaris digilis kereta di Manjung, Perak selepas melarikan diri daripada dikejar seekor anjing.
Ekoran daripada itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM). memaklumkan haiwan terbabit sudah ditangkap berpandukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram