Ramai setuju kerajaan umum tiada cuti tambahan raya Aidilfitri 2024


  • Massa
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Anwar memberikan bayangan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk memberikan kelepasan am tambahan cuti Aidilfitri pada 12 April ini. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan bahawa kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk memberikan kelepasan am tambahan cuti Aidilfitri pada 12 April ini.

Ia selepas terdapat pihak berpandangan kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pemberian cuti tambahan berkenaan bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati tempoh bercuti lebih panjang.

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri pada 10 dan 11 April ini, yang jatuh pada Rabu dan Khamis.

Pemberian cuti tambahan pada 12 April iaitu Jumaat sekiranya dilaksanakan bakal memanjangkan tempoh cuti dinikmati rakyat kepada lima hari termasuk Sabtu dan Ahad.

Pada tahun lalu, kerajaan memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.

BACA LAGI: 'Pengangkutan awam masih kurang memuaskan tapi dah nak fokus kereta EV'

2616609

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri

Bagaimanapun, pendirian berbeza dijangka diambil oleh kerajaan pada tahun ini menerusi kenyataan terbaharu dikeluarkan Anwar.

"(Pada) 12 April ini kita kena ada semangat kerja," kata Perdana Menteri ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar MADANI di Putrajaya pada Khamis.

Dalam pada itu, pendirian tersebut ternyata mendapat reaksi agak positif daripada rata-rata warganet yang berpandangan bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya dimanjakan dengan pemberian cuti.

Malah, mereka turut berpendapat, kesemua individu menggunakan sebaik mungkin kemudahan cuti yang disediakan bagi memudahkan perancangan mereka ketika beraya.

"Tahun-tahun sebelum ni tiada pun cuti tambahan. Nak cuti mohon (cuti tahunan) sahaja. Kalau lepas, boleh cuti. Kalau tak lepas, tak payah," ujar shahrulafiqq.

"Cukup-cukuplah rakyat Malaysia, malasnya tu jangan berlebihan. Bonus nak, cuti nak, tol pecuma nak, semua nak lebih. Kerjalah majukan negara sihatkan badan," tulis Srhkml.

"Tak perlu. Walaupun Syawal sebulan, janganlah kita berlebihan. Umat Islam negara lain ok sahaja masuk kerja hari raya kedua dan ketiga," ujar iamkhairuddin.

"Kalau raya jatuh Rabu Khamis, suruh kerajaan bagi cuti tambahan Jumaat. Tahun depan kalau raya Selasa Rabu, dia minta cuti tambahan Isnin. Selamanya nak kena spoon-feed ke? Tak pandai nak rancang cuti sendiri?" soal riaz_ir.

Pada masa sama, terdapat segelintir netizen bekerja di sektor tertentu yang berkongsikan berpendapat cuti tambahan diberikan sememangnya tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mereka.

"Tak tahulah sebab kitanya yang kerja f&b(industri perkhidmatan makanan dan minuman) jangan kata cuti tambahan. Pagi-pagi raya tak sempat jamah rendang dah kena pergi buka kedai.

"Cuti satu hari saja pun kena berebut. Rumah dah kosong adik-beradik dah bekerja kita baru dapat cuti," kongsi syzlbdn. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram