SPRM panggil anak bekas PM, rakam keterangan siasatan kes rasuah perniagaan sekitar 1990-an


  • 112
  • Rabu, 17 Jan 2024

Sumber berkata, siasatan dibuat berikutan dakwaan syarikat milik individu berkenaan telah membeli anak syarikat milik entiti perniagaan berkaitan kerajaan melalui dasar penswastaan ketika itu.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia telah memanggil anak kepada seorang bekas Perdana Menteri bagi membantu siasatan berhubung pembabitannya dalam aktiviti perniagaanya sekitar 1990-an.

Sumber yang mengetahui mengenai siasatan tersebut berkata, individu itu sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM beberapa minggu lalu untuk merekodkan kenyataannya berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan.

"Hari ini (Rabu), penyiasat telah memanggilnya sekali lagi untuk menyerahkan notis, memerlukan dia mengisytiharkan semua asetnya, sama ada di luar negara atau di dalam negara, secara bertulis," kata sumber kepada The Star pada Rabu.

BACA LAGI: Siasatan SPRM: Isteri dakwa Tun Daim dianiaya kerana kaya-raya

Bagaimanapun, sumber sama tidak mendedahkan identiti individu terbabit.

Sumber berkata, siasatan dibuat berikutan dakwaan syarikat milik individu berkenaan telah membeli anak syarikat milik entiti perniagaan berkaitan kerajaan melalui dasar penswastaan ketika itu.

Bagaimanapun, individu terbabit kemudiannya menjual syarikat tersebut kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh setahun dan dipercayai memperoleh keuntungan berjumlah ratusan juta ringgit.

Sumber juga mendakwa lelaki itu tersenarai dalam senarai Offshore Leaks.

BACA LAGI: [VIDEO] SPRM tampil jawab dakwaan Daim, maklum sudah beri 5 kali lanjutan isytihar harta

Namun, tidak dapat disahkan sekiranya SPRM turut meneliti dakwaan yang dibuat dalam dokumen tersebut.

Dokumen Offshore Leaks merupakan laporan mendedahkan butiran 130,000 akaun luar pesisir yang dikeluarkan pada April 2013.

Ia memperincikan maklumat kewangan peribadi mengenai individu dan pegawai kerajaan, yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum sebelum ini.

The Star masih cuba mendapatkan kenyataan dan pengesahan rasmi daripada SPRM berhubung perkara ini. — The Star/MAZWIN NIK ANIS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram